IPOH: Polis Perak akan mempertingkat kawalan keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di negeri ini susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kawalan di 16 IPD dan 107 balai polis itu akan dikaji semula termasuk daripada aspek keanggotaan terutama melibatkan penugasan pada sebelah malam.
Malah katanya, kajian juga dijalankan untuk meningkatkan pencahayaan di sekitar premis terutama di pintu masuk IPD dan balai polis selain membaiki pagar-pagar yang rosak.
“Saya telah mengarahkan agar penugasan di IPD dan balai polis di seluruh negeri dikaji semula terutama dari segi kekuatan dan penugasan sebelah malam terutama pukul 10 malam ke atas.
“Kita juga akan buat penilaian untuk lihat balai-balai yang berpotensi atau terdapat kekurangan di mana akan membolehkan ancaman berlaku,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota yang bertugas juga disarankan untuk lebih berhati-hati dan peka terhadap keadaan termasuk memeriksa orang awam yang datang ke premis pada waktu malam dengan pemeriksaan yang lebih ketat perlu dijalankan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Kita mahu pastikan orang yang datang ke IPD dan balai polis terutama melebihi pukul 10 malam ke atas mesti diperiksa dengan lebih ketat lagi. Kita mahu tahu apa tujuan dan keperluan mereka datang ke balai selain pemeriksaan terhadap bungkusan atau beg yang dibawa bersama,” ujar beliau. – UTUSAN










