PUTRAJAYA: Insiden demi insiden terhadap institusi negara akhir-akhir ini disahkan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, malah corak jenayahnya juga berbeza.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan awal pihak polis juga mendapati kesemua kes jenayah, ugutan dan cubaan menceroboh Istana Negara itu mempunyai motif berbeza.
Beliau berkata, kes tembakan terhadap anggota polis di Ulu Tiram dikaitkan dengan elemen ‘lone wolf’ (secara bersendirian), manakala kes cubaan rampasan senjata api di Balai Polis Dato’ Keramat itu pula disebabkan mabuk.
“Yang kita tahan di Istana Negara pula, dia (pelaku) kata dia bermimpi dan mimpi itu memerintahkan dia untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. Yang di Dato’ Keramat pula dia (pelaku) mabuk, jadi tak sama.
“Kesemua corak jenayah itu diperoleh selepas kita profil pelaku jenayah dalam kes-kes berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, siasatan polis terhadap beberapa insiden yang mengancam institusi penting negara menjurus ke arah untuk menentukan sama ada ia merupakan tindakan rambang atau terancang secara individu mahupun berkumpulan.
Ia termasuk serangan terhadap dua balai polis, Istana Negara dan ugutan bunuh diterima oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Jumaat lalu, seorang individu bertindak menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor sehingga mengakibatkan dua anggota maut, sementara, pada pukul 4 petang hari sama, polis menahan dua individu bersenjatakan parang menceroboh masuk Istana Negara.
Sehari selepas itu, Teresa mendedahkan beliau menerima kertas ugutan bunuh bersaiz A4 bersama dua peluru yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya.
Pada pukul 4.45 pagi Ahad pula, polis memberkas seorang lelaki dipercayai cuba menyerang seorang anggota di Balai Polis Dato’ Keramat, George Town, Pulau Pinang.
Sementara itu, Saifuddin berkata, polis setakat ini belum membuat sebarang tangkapan baharu berhubung kes pemain bola sepak, Faisal selepas fotofit suspek diedarkan untuk hebahan sejak tiga hari lalu. – UTUSAN











