PETALING JAYA: Harga runcit diesel dijangka naik sehingga RM3.40 seliter berbanding RM2.15 seliter ketika ini berikutan keputusan penyasaran subsidi bahan api yang akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, jangkaan harga tanpa subsidi itu adalah berdasarkan kadar subsidi semasa yang diberikan oleh kerajaan ketika ini.
“Kita jangka harga naik antara RM3.20 hingga RM3.40 seliter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PENJIMATAN
Kelmarin, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel sekali gus dapat memberi penjimatan kepada kerajaan sekitar RM4 bilion setahun.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh ketika diminta mengulas jangkaan kenaikan itu berkata, kenaikan itu tidak harus dijadikan isu memandangkan ia melibatkan kumpulan T20 dan warga asing.
“Hanya 1.7 peratus rakyat Malaysia merangkumi 1.58 juta isi rumah kumpulan T20 yang memiliki pendapatan melebihi RM11,820 dan 3.5 juta warga asing yang terkesan,’’ katanya.
Katanya, para peniaga tidak wajar sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan kerana semua kenderaan pengangkutan masih menerima subsidi.
“Pihak kementerian akan sentiasa memantau harga barang untuk memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan,” katanya.
Fuziah berkata, pengumuman lanjut mengenai perincian pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bakal diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada masa terdekat.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, kerajaan mengambil langkah melaksanakan penyasaran subsidi bahan api sahaja secara berperingkat bagi mengelakkan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat.
Namun, katanya, kerajaan perlu mengutamakan kebajikan rakyat secara menyeluruh termasuk menaik taraf sistem pengangkutan awam dan pemberian insentif dalam bidang pendidikan berbanding agihan bantuan tunai.
Katanya, bantuan tunai dikhuatiri akan disalah guna untuk tujuan lain dan bukannya pembelian bahan api.
“Jika kerajaan mahu meneruskan bantuan tunai, salah satu cara kaedah terbaik adalah pemberian tunai disalurkan dalam kad fleet. Ia bermakna pada setiap bulan, bantuan tunai disalurkan dalam kad ini,” katanya. – UTUSAN











