Ezlynn hati-hati terima jodoh - Utusan Malaysia

Ezlynn hati-hati terima jodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Membawa gelaran janda sejak empat tahun lalu nyata memberinya persepsi berbeza mengenai lelaki. Jelas Ezlynn, dalam tempoh ini dia bukan sahaja lebih matang tetapi juga cukup berhati-hati dalam membuka peluang.

Enggan berada dalam hubungan yang tidak sihat, jelasnya menjadi kewajipan kini dalam memastikan kehadiran cinta bukan sekadar memberi kelebihan buat sebelah pihak.

Mencari hubungan yang seimbang jelas Ezlynn ada kriteria yang perlu dipenuhi untuk menakluki hatinya.

“Bila sudah empat tahun solo, saya kini menjadi lebih matang dalam mencari pasangan. Malah lebih susah sebenarnya bila kita sudah letak keperluan dalam sesebuah hubungan. Macam sekarang dalam tempoh sekejap sahaja kita boleh sedar sama ada dia sesuai atau tidak.

“Jadi kalau kata mahu beri peluang dua atau tiga kali itu memang tidak akan berlaku. Sebab sekali sahaja ada kesilapan yang berlaku saya akan segera angkat kaki,”katanya tegas.

Mengakui terdetik untuk kembali berumah tangga, pemilik nama Azeline Ariffin ini sama seperti wanita lain. Dia juga mengimpikan kebahagiaan. Namun dalam masa yang sama tidak mahu dinafikan, bagaimana kehidupan solo juga memberi keselesaan kepada hidupnya kini.

“Saya akui kehidupan solo kini sangat selesa, memang itu yang saya lalui.

“Namun bukanlah bermakna tidak terfikir soal perkahwinan, ada memang ada terdetik. Cuma sehingga waktu ini masih menunggu jodoh yang sesuai,” katanya jujur.

Kawan lelaki muda

Tidak mahu berselindung mengenai hubungan istimewanya kini, rupa-rupanya sudah ada yang mengetuk pintu hatinya. Berkongsi serba sedikit mengenai jejaka rahsia ini, kata Ezlynn tidak banyak yang boleh didedahkan.

“Ya, saya sedang berkawan dengan seseorang. Masih dalam fasa mengenali. Hanya orang biasa sahaja. Buat masa sekarang juga masih berkenalan dengan keluarganya sebab dia juga anak bongsu.

“Apa istimewanya dia? Apa yang boleh saya kongsi dia seorang yang memahami dan sangat matang. Mengambil kira dia juga bukan seorang Islam, saya tersentuh bagaimana dia juga sangat menitikberatkan soal solat.

“Kalau keluar bersama, apa yang akan ditanya sama ada saya sudah menunaikan solat. Jika belum dia akan berusaha mencari surau untuk saya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Sabun Toyyib, sabun pewangi dengan tekonolgi Endcap pertama di Malaysia baru-baru ini.

Berkenalan sejak dua tahun lalu, ternyata umur tidak menjadi isu buat Ezlynn sendiri. Malah dia juga mengakui bagaimana lelaki muda sebenarnya lebih merendah diri dalam memahami dirinya.
“Dia sebenarnya beberapa tahun lebih muda daripada saya. Namun tidak dinafikan fikirannya sangat matang dan cukup menyenangkan.

“Saya tidak ada masalah dengan umur, ikutkan dia sangat solid. Pada pandangan saya orang lebih muda ini dia tidak ego dan sedia untuk belajar, kadang berbeza dengan lelaki yang lebih berumur. Saya selesa sebab dia juga sangat memahami,” katanya.

Berkongsi detik awal perkenalan, jelas Ezlynn semuanya berlaku secara tidak sengaja. Malah pertemuan pertamanya adalah di gelanggang badminton.

“Saya berkenalan dengan dia sejak dua tahun lalu, di gelanggang badminton. Bukan ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan, sebelum itu lagi.

“Pada waktu itu memang dia juga tidak kenal saya. Jadi kita tahu bila dia tidak kenal kita hubungan itu rasa lebih jelas buat saya. Cuma pada waktu sekarang apa yang boleh kongsikan setakat ini, kami hanya berkawan. Saya berserah, kalau dia kata itulah jodoh saya, saya terima,”ujarnya

Pagar diri sendiri

Pernah berkongsi kejadian mistik yang berlaku di rumahnya baru-baru ini. Kata wanita berusia 39 tahun ini dalam tempoh sekarang dia hanya menyerahkan kepada Allah SWT. Tidak mahu bergantung kepada mana-mana pihak, dia yakin untuk terus melengkapi diri dengan ajaran agama.

“Kejadian bermula apabila saya ternampak bendasing seperti pasir dalam rumah saya. Pada mulanya saya tidak sangka apa-apa. Namun kali kedua melihat benda yang sama terus terdetik mengenai perkara mistik ini.

“Saya bertemu dengan orang yang pakar dalam hal ini,dan mereka akui memang ada yang cuba menghantar perkara yang tidak baik. Bagaimanapun saya difahamkan kalau benda seperti ini akan berterusan.

“Jadi dalam tempoh sekarang saya ambil nasihat untuk ubah cara hidup saya sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT selain meluangkan masa membaca al Quran setiap hari. Sebab hanya saya sendiri mampu melindungi diri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×