PUTRAJAYA: Sejumlah 645.75 tan metrik pelbagai gred beras termasuk beras putih import (BPI) yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta dirampas di sebuah gudang di Sibu, Sarawak.
Tindakan itu dilaksanakan melalui serbuan sepasukan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui operasi bersepadu Op Taring Bravo 3.
Menurut KPKM, serbuan dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) selama dua hari di sekitar daerah itu bermula 15 Mei lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan berkenaan tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].
“KPB menyita stok beras tersebut berserta dokumen-dokumen yang berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 P.U (A) 624,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPKM berkata, siasatan turut dijalankan terhadap syarikat tersebut sama ada terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu BPI.
Mulai 5 Oktober tahun lalu, kerajaan bersetuju memberikan subsidi BPI sebanyak RM950 per tan metrik peringkat borong bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dengan harga jualan runcit tidak melebihi RM31 per kampit bagi 10 kilogram.
“Tindakan menyeleweng barang bersubsidi adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang membawa kerugian kepada negara dan mengakibatkan rakyat tidak dapat membeli barangan itu.
“KPB sentiasa berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan negara dalam mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi mengekang pihak yang cuba menyeleweng BPI di Sabah dan Sarawak termasuk cubaan membawa keluar beras tersebut dari sempadan negara,” katanya.
Pada masa sama, KPB memberi peringatan kepada semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhinya. – UTUSAN











