FAM urus Akademi Mokhtar Dahari tidak praktikal

FAM urus Akademi Mokhtar Dahari tidak praktikal

AKADEMI Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari diwujudkan khusus untuk melahirkan pemain bola sepak berbakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sesuai mengambil alih Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) kerana tidak praktikal lebih-lebih lagi ia projek kerajaan.

Penganalisis sukan, Datuk Pekan Ramli berkata, AMD merupakan projek kerajaan yang dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan serta diletakkan di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) manakala FAM merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Peruntukan kewangan untuk menguruskan AMD datang daripada kerajaan, jadi kerajaan tidak boleh menyalurkan peruntukan tersebut kepada NGO seperti FAM. Apa yang boleh dilakukan adalah kerjasama erat antara FAM dan AMD untuk memajukan pemain-pemain muda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas hasrat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin agar AMD diletakkan di bawah badan induk bola sepak negara itu sebagai salah satu usaha pembangunan bola sepak Malaysia di arena antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa semua aspek pengurusan AMD termasuk pemilihan jurulatih dan pemain kini dikendalikan oleh Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Oleh itu, katanya, FAM lebih sesuai mengadakan kerjasama untuk mempertingkatkan proses yang sedia ada tanpa mengambil alih sepenuhnya.

“Apa yang FAM boleh buat sekarang adalah menjalinkan kerjasama antara NFDP serta meningkatkan tahap kualiti dengan mengambil kepakaran jurulatih dari negara asia yang lain contohnya Korea Selatan dan Jepun.

“Masalahnya adalah pada aspek kejurulatihan. Kita memerlukan jurulatih yang benar-benar pakar dalam pembangunan pemain muda,” tambahnya.

Pekan juga menyuarakan kebimbangan mengenai kemahiran asas pemain yang keluar dari AMD, menyatakan bahawa kelemahan dalam kawalan bola dan keyakinan diri menunjukkan ada yang tidak kena dalam program latihan asas di akademi tersebut.

“Kita perlu memberikan lebih tumpuan kepada pembinaan kemahiran asas sebelum membentuk corak permainan,” katanya.

Pekan berpandangan bahawa kerjasama erat antara FAM dan AMD, serta penambahbaikan aspek kejurulatihan dan asas latihan, adalah langkah yang lebih realistik dan berkesan berbanding pengambilalihan sepenuhnya oleh FAM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×