KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan wakil Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi pada peringkat 32 terbaik Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, sebentar tadi.
Pasangan No. 20 dunia itu melakar kemenangan straight set 22-20-21-12 ke atas beregu ke-57 dunia tersebut dalam masa 36 minit.
Kejayaan Wei Chong-Kai Wun itu menyaksikan mereka menebus kekalahan di tangan Chien Wei-Hsuan Yi pada Terbuka Australia, tahun lalu dengan rekod pertemuan kini terikat 1-1.
Pada pusingan kedua, Khamis ini, Wei Chong-Kai Wun dijangka berdepan rakan senegara sama ada Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri atau Nur Mohd Azriyn Ayub Azryin-Tan Wee Kiong. – UTUSAN










