Indeks jenayah Melaka naik 22.2 peratus

Indeks jenayah Melaka naik 22.2 peratus

AB. RAUF Yusoh berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Statistik indeks jenayah di Melaka bermula Januari hingga April 2024 menunjukkan trend peningkatan sebanyak 22.2 peratus iaitu merangkumi 507 kes, berbanding hanya 415 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, nisbah seorang polis kepada 6,000 masyarakat iaitu 200 peratus daripada piawaian sepatutnya juga perlu dilihat semula sebagai usaha mengurangkan kadar jenayah, sekali gus keselamatan rakyat dapat dipelihara dengan lebih terurus.

Beliau berkata, anggota pasukan keselamatan seperti polis, tentera, penguat kuasa, tentera, bomba dan sebagainya di negeri ini diseru sentiasa bersiap-siaga sepanjang menjalankan tugasan harian.

“Baru-baru ini, platform media sosial hangat diperkatakan dengan insiden yang melibatkan kecederaan kepada pemain bola sepak negara dan serangan kepada anggota polis di Ulu Tiram, Johor dan di Pulau Pinang.

“Berdasarkan standard piawaian antarabangsa, nisbah seorang polis adalah untuk 600 masyarakat, akan tetapi disebabkan jumlah masyarakat yang melebihi jumlah anggota, ia menyebabkan kita perlu mengaplikasikan nisbah seorang polis kepada 6 ribu masyarakat.

“Berkait itu, saya bercadang untuk membincangkan semula perkara ini bersama pihak atasan sebagai usaha mengurangkan kadar jenayah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, Melaka memiliki 36 balai polis dan tiga ibu pejabat polis daerah (IPD).

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24.

“Saya mendoakan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×