SEREMBAN: Seorang pegawai Imigresen yang bertugas di Unit Persenjataan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM7,600 pada 2018 hingga 2022.
Tertuduh, Razali Ahmad, 41, yang kini bertugas sebagai Penolong Penguasa Imigresen KP 32 di Unit Persenjataan, Bahagian Penguatkuasa bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas 10 pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Penolong Penguasa Imigresen KP 29 dan 32 di Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya telah menerima suatu benda iaitu wang berjumlah antara RM500 hingga RM1,000 tanpa balasan daripada seorang individu.
Wang itu diterima melalui pindahan wang dalam talian ke dalam akaun bank milik tertuduh yang mana tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan tugas rasminya ketika itu
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Taman Semarak, Nilai di sini antara 25 Disember 2018 hingga 7 Jun 2022.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan bagi 10 pertuduhan tersebut.
Rifah Izzati turut memohon syarat tambahan daripada mahkamah supaya tertuduh melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam yang mewakili tertuduh, Low Carmen kemudian memohon jaminan minimum dikenakan atas alasan anak guamnya hanya mempunyai anggaran pendapatan kasar RM4,200 sebulan dan perlu menanggung perbelanjaan keluarga yang tinggi
“Tertuduh merupakan Ketua Unit Persenjataan dan berkahwin dengan isterinya yang juga penjawat awam yang berpendapatan kasar RM2,500 sebulan.
“Tertuduh mempunyai empat orang anak berusia empat hingga 17 tahun selain perlu menanggung ibu mentua berusia 64 tahun yang sakit tua,” katanya.
Menurut Carmen, sebagai pegawai yang bertugas di Unit Persenjataan tertuduh perlu ke luar negara untuk menguji peluru dua ke tiga kali setahun, oleh itu beliau memerlukan pasport.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Putrajaya setiap Sabtu pertama setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah. Kes akan disebut semula pada 23 Julai depan.-UTUSAN.










