PETALING JAYA: Penganjur acara ‘Pinkfish Festival’ di dalam gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 16 Mei lalu sehingga menimbulkan kontroversi, tidak melanggar sebarang syarat yang dipersetujui bersama KTMB.
KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sudah menetapkan beberapa syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang.
Katanya, penganjur festival muzik tersebut mempersetujui dan mematuhi syarat-syarat berkenaan.
“KTMB menerima baik maklum balas berkaitan perkhidmatan tren sewaan khas (Charter Train).
“KTMB akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewa khas demi kepentingan orang awam dan syarikat,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan parti ‘liar’ yang diadakan di dalam gerabak KTM di media sosial dengan lokasinya dipercayai di Kuala Lumpur.
Beberapa portal hiburan menulis ia adalah festival pertama di dalam keretapi diadakan di Asia Tenggara bagi menyambut ulang tahun ‘Pinkfish Festival’.
Rata-rata netizen terkejut kerana boleh disewa khidmat KTM pada waktu malam dan mempersoal kaedah yang membenarkan ia diguna untuk tujuan mengaut keuntungan dan sebagainya.
Mengulas lanjut, KTMB berkata, pihaknya memperkenal perkhidmatan sewaan tren khas kepada syarikat atau individu yang berminat sejak September 2021.
Jelasnya, perkhidmatan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dan pernah disewa khas oleh pihak-pihak kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan-persatuan.
“Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan yang mana kami menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan dan aktiviti yang direncana ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan,” katanya. –UTUSAN










