Dihambat kecederaan sebelum raih gangsa 

Dihambat kecederaan sebelum raih gangsa 

Muhammad Sharul berjaya merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Gimnastik Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan, semalam. - IHSAN FB MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet gimnastik negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisham mengakui  hampir putus asa sebelum berjaya merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Gimnastik Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan, semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan di buku lalinya semasa latihan menyebabkan dia hampir menarik diri sebelum bermulanya kejohanan.

“Sepuluh minit sebelum kejohanan saya tenangkan diri terlebih dahulu bersama fisioterapi. Akibat kecederaan itu ia mengganggu saya semasa latihan. Ada dalam tiga hingga empat kali saya jatuh.

“Saya turut bergelumang dengan perasaan gementar berhadapan dengan ramai pesaing yang bertaraf dunia. Itu menaikkan semangat saya untuk terus berjuang biarpun dalam keadaan cedera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu mencatat 14.466 mata di belakang jaguh Filipina, Carlos Yulo (14.833 mata) diikuti atlet tuan rumah Abdulaziz Mirvaliev (14.783 mata) yang mengutip emas dan perak.

Beliau mencipta sejarah Malaysia selepas merangkul pingat sulung negara menerusi kejohanan berkenaan.

Dalam pada itu, Sharul Aimy berkata, kejayaannya memahat nama dalam sejarah Malaysia menaikkan semangatnya untuk terus melakar kejayaan.

Bagaimanapun, kejayaan manis itu masih tidak mencukupi untuk menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

“Perasaan saya tidak dapat diluahkan kerana saya amat gembira dengan kejayaan ini9. Paling penting saya mahu kekalkan pingat saya bersama kejohanan Asia ini.

“Pada tahun hadapan, saya berhajat untuk menukar warna pingat saya kepada yang lebih baik. Baik perak mahupun emas. Itu impian saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×