PETALING JAYA: Keputusan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk bekerja sama dengan gabungan atau parti mana akan memberi kesan kepada politik di Semenanjung.
Penganalisis politik, Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, setakat ini blok PH belum membuat keputusan sama ada terus bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau beralih kepada Parti Warisan (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, pihaknya menjangka PH akan kekal bersama BN dan Warisan jika mengikut sentimen di Putrajaya, namun ia terlalu awal untuk diputuskan.
“Saya kira PH (Sabah) mungkin akan buat keputusan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sekarang tentu ada delima sebab (PH) pusat mengiktiraf kerjasama semua, tetapi kalau PH dilihat pro GRS untuk menjadi sekutu atau blok dengan GRS tentu ia melibatkan situasi tidak harmoni antara PH Sabah dan PH Putrajaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Dr. Awang Azman berkata, hubungan PH Sabah dengan kerajaan negeri hari ini bagaimanapun tidak terjejas selagi mereka tidak mengumumkan rakan kerjasama pada PRN Sabah nanti.
“PH tidak akan mengambil langkah atau menunjukkan sikap mereka tentang sokongan terhadap GRS yang sebenar atau BN untuk menghormati hubungan di peringkat Persekutuan.
“Apabila bubar baru keputusan lebih jelas,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelidik di Unit Kajian Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPes), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Ramli Dollah berkata, UMNO tidak mempunyai pilihan dalam politik yang semakin dinamik kecuali mencari rakan pakatan mahupun gabungan yang sesuai.
“UMNO dengan kata lain tidak boleh berhadapan PRN17 ini secara bersendirian. Ia perlu mempunyai rakan pakatan yang sesuai dan boleh menguntungkan kedua-dua pihak dalam mendepani PRN17,” katanya.
Tambah beliau, pembentukan satu gabungan kerjasama UMNO tidak memberi kesan kepada kerajaan Sabah jika ia menjadi kenyataan.
“Ini memandangkan pilihan raya mungkin akan diadakan pada bila-bila masa. Mungkin tahun ini atau selewat-lewatnya pada tahun depan.
“Oleh itu, tempoh yang singkat untuk pembubaran Parlimen ini bukan untuk ubah kerajaan tetapi lebih fokus kepada persediaan berhadapan dengan PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” katanya.
Pada PRN Sabah 2020, Warisan menang 23 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada masa ini Warisan hanya memiliki 14 kerusi.
Selepas 11 ADUN Warisan keluar parti lalu menyertai parti lain, dua ADUN DAP pula menyertai Warisan. –UTUSAN











