TUMPAT: Wajah baharu Pasar Terapung Pulau Suri di sini yang dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), menjadi tarikan orang ramai untuk berkunjung ke kawasan berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia di situ mendapati, pengusaha bot penambang tidak menang tangan membawa penumpang untuk ke pasar berkenaan.
Seorang pengunjung, Hakimi Mohd. Rafiq, 35, berkata, dengan adanya wajah baharu itu, kawasan tersebut mampu menarik lebih ramai pelancong selepas ini.
“Bila ramai orang berkunjung ke sini, ekonomi penduduk setempat berkembang dan situasi itu baik untuk mereka yang rata-rata golongan nelayan.
“Cuma saya harap kemudahan yang ada ini dimanfaatkan dan dijaga sebaik mungkin supaya ia bertahan lebih lama,” katanya semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pasar Terapung Pulau Suri yang ditutup selama setahun untuk kerja-kerja naik taraf kini sedia menerima kunjungan pelancong yang dianggarkan lebih 1,000 orang sehari.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, pada masa sama, ia bakal memberi manfaat kepada 30 peniaga menggunakan perahu di pasar berkenaan setiap hari Jumaat dan Sabtu.
Seorang lagi pengunjung, Azli Idris, 33, berharap kawasan tersebut dapat diselenggara dengan baik sepertimana lokasi pelancongan lain.
Katanya, sesebuah lokasi pelancongan mampu bertahan jika diurus dengan sempurna terutama dalam soal kebersihan dan kemudahan. – UTUSAN







