Pasar terapung tarikan di MAHA 2024

Pasar terapung tarikan di MAHA 2024

Pasar Terapung antara tarikan baharu pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelanco­ngan (MAHA) 2024 mencipta sejarah baharu sempena sambutan 100 tahun acara itu dengan mempersembahkan pelbagai inisiatif unik yang menonjolkan kekayaan budaya dan warisan nelayan Malaysia.

Bertemakan ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’, pameran pertanian terbesar di Asia Tenggara itu berhasrat me­rintis masa depan pertanian yang lebih maju dan inovatif, seiring dengan usaha menjadikan sektor tersebut sebagai teras utama ekonomi negara.

Ketua Sekretariat MAHA 2024, Zurihanmi Zakariya berkata, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui D’Laman LKIM akan menjadi pusat tumpuan utama dengan memper­kenalkan Pasar Terapung yang menampilkan pelbagai aktiviti dan hidangan yang menggamit kenangan serta menggugah selera pengunjung.

Menurutnya, D’Laman LKIM yang dikendalikan oleh LKIM membuka ruang kepada persa­tuan nelayan, Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA), dan ahli keluarga nelayan untuk mempamerkan serta menjual hasil keluaran mereka.

Malah seramai 10 pengusaha daripada pelbagai negeri akan menyertai Pasar Terapung ini, mempersembahkan citarasa dan tradisi unik yang melambangkan identiti negeri masing-masing.

“Ini termasuk makanan laut, minuman dan produk industri asas tani (IAT) yang sinonim dengan pelbagai negeri di Malaysia. Pengunjung di sini berpeluang menikmati hidangan-hidangan istimewa yang dibawa khas dari pelbagai pelosok negara.

“Antara hidangan yang pasti memikat pengunjung adalah kari kepala ikan dari Pulau Pinang, lokan bakar keju dan ikan bekok dari Kelantan, serta makanan laut celup tepung dan ketupat sotong dari Terengganu,” katanya ketika ditemui di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini kelmarin.

Selain itu, Zurihanmi berkata, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik di D’Laman LKIM termasuk demonstrasi masakan, kraftangan, tarian kebudayaan, pertandingan memancing, serta kuiz yang sesuai untuk seisi keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×