PETALING JAYA: Dua lelaki yang cuba memasuki Istana Negara dan mendakwa mahu berjumpa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada Jumaat dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, suspek yang melakukan kesalahan itu dituduh di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek mengaku bersalah atas kesalahan dilakukan.
“Pertuduhan tambahan dikenakan ke atas seorang suspek di bawah Seksyen Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Bagaimanapun suspek tidak mengaku bersalah. Motif cubaan pencerobohan Istana Negara yang dilakukan dua suspek tersebut adalah tidak dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan, dua lelaki cuba menceroboh Istana Negara, Jalan Sultan Abdul Halim dekat sini didakwa mahu berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam kejadian pada Jumaat lalu.
Rusdi dilaporkan berkata, pemeriksaan lanjut anggota polis terhadap Perodua Kembara dinaiki kedua-dua suspek berusia 29 dan 37 tahun yang berasal dari Sabah dan Petaling Jaya itu telah menemukan sebilah parang dalam kenderaan terbabit.
“Kejadian pukul 4.40 petang itu apabila kereta dinaiki kedua-dua suspek cuba memasuki Pintu 3, Istana Negara atas tujuan untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek turut menemukan sebilah parang. Kejadian berlaku apabila kereta mereka ditahan anggota bertugas dan ketika ditanya apa tujuan mereka mendakwa mahu berjumpa Agong,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rusdi memaklumkan, pihak polis setakat ini merakam percakapan daripada dua saksi berkaitan kes sepucuk surat amaran dan ugutan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
“Kes masih dalam siasatan lanjut dan tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya.
Media semalam melaporkan Naib Pengerusi DAP itu menerima surat ugutan bunuh bersama dua butir peluru hidup.
Katanya, sampul surat yang mengandungi sesuatu benda yang agak keras di dalamnya yang diletakkan pada peti surat kediamannya, semalam.
“Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis perkataan lucah dan ugutan bunuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam. – UTUSAN











