JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Fatwa Johor mengklasifikasi kematian dua anggota polis dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu sebagai Fi Sabilillah, iaitu kematian di jalan Allah SWT.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, ia kerana kematian dua wira negara itu ketika menjaga dan mempertahankan keselamatan kepentingan negara.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang Jumaat lalu.
“Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa jenazah Allahyarham kedua-dua anggota polis berkenaan sebagai syahid akhirat. Jawatankuasa Fatwa juga memutuskan bahawa jenazah mereka hendaklah disempurnakan dengan melengkapkan empat rukun tahjiz jenazah, iaitu dimandikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Dalam serangan seorang lelaki ke atas Balai Polis Ulu Tiram kira-kira pukul 2.30 pagi Jumaat lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban.
Ahmad Azza Fahmi meninggal dunia akibat ditetak pada bahagian belakang leher dan kepala, manakala Muhamad Syafiq maut akibat ditembak pada bahagian pipi dan menembusi kepalanya.
Seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd. Hasif Roslan mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) serta keadaannya dilaporkan stabil.
Mohd. Fared berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad turut menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas peristiwa yang menimpa semua anggota polis berkenaan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan.
Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor juga menetapkan jenazah suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram dikebumikan berasingan dan berjauhan dari kubur yang lain.
Mohd. Fared berkata, tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding liang lahad lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.
“Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa ia sebagai satu peringatan kepada masyarakat agar tidak terlibat atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.
“Ia juga sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek lebih-lebih lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara, yang tiada melakukan salah dan silap terhadap suspek,” katanya.
Jenazah terbabit dikebumikan pada pukul 12.30 tengah hari semalam di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram, di sini. –UTUSAN










