PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin UMNO diberi amaran supaya tidak menggertak atau mengugut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung hasrat menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, UMNO dicabar berbuat demikian tanpa meletakkan apa apa syarat atau ugutan atau acah-acah.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya tidak mempunyai masa untuk memikirkan perkara tersebut, sebaliknya hanya bekerja demi rakyat.
“Sekarang bukan zaman ugut, seperti yang Tok Mat (Datuk Mohamad Hassan) kata, bukan main silat pulut, kita main boh terus, nak tumbuk, tumbuk jer la, tidak perlu main acah-acah sahaja.
“Ini tidak, ada syarat itu, syarat ini, hendak tarik (sokongan), tarik lah, bukan main gertak sahaja.
“Sekarang ini kalau nak buat, buatlah, bukan mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) lah apa lah, hendak buat (tarik sokongan), buat sahaja,” katanya.
Perhimpunan Agung UMNO 2020 kelmarin sebulat suara memberikan mandat kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tempoh kepada UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya PN tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat 1 Ogos ini, UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada.
Rosol berkata, kebanyakan pembahas pada perhimpunan berkenaan hanya lantang semasa berucap sahaja.
“Mereka ini (jurucakap) cakap sahaja bergegar (lantang), (ada negeri) itu semua sudah 30 tahun, 15 tahun kalah.
“Negeri dia sudah kalah. Macam Kelantan, cakap bergegar (lantang) tetapi sudah 30 tahun kalah, macam Selangor, sudah 15 tahun kalah.
Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, keputusan tersebut adalah keputusan UMNO dan tidak boleh dipertikaikan.
Katanya, pihaknya atau PN tidak boleh memaksa Barisan Nasional atau UMNO bekerjasama dengan PN kerana itu adalah hak parti itu.
“Sekiranya BN-UMNO yakin untuk berhadapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, itu adalah keyakinan mereka dan tidak boleh dipertikai.
‘‘Jika mereka yakin BN-UMNO boleh menang tanpa kerjasama dengan mana-mana pihak, itu pilihan mereka,” katanya.
Tambah Mohd. Rafiq, PN tidak boleh bergantung kepada sokongan BN-UMNO semata-mata, kita sedar dan akan perkuatkan jentera serta gerak kerja parti.
Katanya, hari ini, PN mempunyai jumlah parti komponen paling banyak iaitu lima parti komponen berbanding BN dan Pakatan Harapan (PH) dengan masing-masing mempunyai empat dan tiga parti komponen sahaja.
“PN semakin hari semakin kukuh dan parti komponen kita semakin bertambah serta masih ada lagi parti lain yang memohon untuk menyertai PN,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya kita sudah mempunyai dua parti komponen yang mewakili parti Melayu, kenapa lagi pihaknya perlu mencari pengganti UMNO.
“Saya fikir tidak ada pengganti UMNO, dalam PN, kita ada dua parti melayu yang berteraskan parti Melayu dan Islam, jadi saya tak fikir kita perlu cari pengganti UMNO.
“Kalau itu pilihan UMNO, kita akan teruskan dengan Bersatu dan Pas sebagai wakil Melayu, Islam dan bumiputera,’’ katanya. -UTUSAN










