PUTRAJAYA: Seorang bekas penjual tebu terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara maksimum 40 tahun kerana membunuh seorang pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani, 15 tahun lalu.
Wanita dari Surabaya itu meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini, pada 26 Oktober 2009 setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menjatuhkan hukuman itu terhadap A. Murugan, 50, selepas membenarkan permohonan semakannya.
Beliau yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan mengetepikan hukuman mati dan memerintahkan hukuman penjara bermula pada tarikh tangkap pada 21 Oktober 2009.
Murugan disabitkan membunuh Muntik, 36, di rumah lelaki itu di Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 Oktober dan 20 Oktober 2009.
Terdahulu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Murugan memohon hukuman penjara tidak melebihi 40 tahun atas alasan anak guamnya bergantung pada ubat-ubatan dan pernah berada dalam keadaan koma selama enam bulan selepas menjalani pembedahan.
Peguam memohon hukuman mati diketepikan kerana fakta menunjukkan mangsa pernah menerima rawatan selama enam hari sebelum menemui ajal.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling memohon hukuman mati dikekalkan atas alasan Muntik dibunuh dengan cara yang ganas, kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Hujah beliau, Murugan telah mengambil kesempatan terhadap wanita itu yang datang ke rumah rumahnya untuk mendapat tempat berlindung, sebaliknya didera sehingga mangsa mengalami kecederaan tulang belakang.
“Kecederaan tulang belakang itu menyukarkan mangsa untuk bergerak selepas dipukul bertalu-talu, kakinya disimbah air panas manakala kepalanya dibotakkan walhal dia tidak berbuat salah kepada lelaki itu.
“Wanita itu malah dikurung dalam tandas berkunci selama dua hari tanpa diberi makan dan minuman dan ketika tiba di hospital, matanya tidak boleh dibuka manakala tubuhnya luka dan dijangkiti kuman,” hujahnya.
Mei Ling selanjutnya menyatakan, akibat kecederaan yang dialaminya, kematian tidak dapat dielakkan kerana semua organ utama dalam tubuhnya gagal berfungsi dan ia berpunca daripada perbuatan lelaki tersebut.
Keterangan kes menyatakan Muntik dalam rakaman percakapannya berkata, dia yang telah berkahwin dan mempunyai tiga anak di Indonesia, menetap di negara ini hampir lima tahun dan pada asalnya bekerja di rumah majikan bernama `Miss Hung’.
Muntik memberitahu, ketika menetap di rumah Murugan, dia dikurung dalam bilik air selama dua hari, dua malam tanpa diberi makanan dan minuman dan sering dipukul dan ditendang di belakang manakala tangan kanannya patah akibat dipukul dengan penyapu.
Laporan akhbar menyebut, ketika diselamatkan dari rumah majikannya, pada 21 Oktober 2009, pembantu rumah terbabit berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam keadaan kepala dicukur botak. – UTUSAN








