'Siasatan polis tentukan tindakan rambang atau terancang'

‘Siasatan polis tentukan tindakan rambang atau terancang’

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan insiden-insiden yang mengancam dan menyasarkan institusi penting negara akan menentukan sama ada serangan berkenaan adalah tindakan rambang atau sebahagian daripada rancangan terkoordinasi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya dan PDRM memandang serius insiden yang berlaku dalam tempoh terdekat ini melibatkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Ini termasuk ancaman bunuh terhadap ahli Parlimen Seputeh, serangan terhadap anggota di Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang serta pencerobohan Istana Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sedar insiden-insiden terkini yang menyasarkan institusi penting negara termasuk Istana Negara, balai polis dan ahli Parlimen. Polis dan KDN memandang serius perkara-perkara ini dan sedang memantau situasi ini dengan rapi.

“Polis juga memulakan siasatan segera bagi setiap kes dan berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang insiden lanjut. Ini adalah komitmen pasukan polis kerana ketenteraman dan keselamatan awam itu tiada kompromi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang awam agar memberikan ruang dan kepercayaan terhadap pasukan polis berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka.

Ini kerana katanya, PDRM sedang mengendalikan setiap siasatan secara profesional serta dedikasi yang diperlukan.

“Siasatan menjurus untuk menentukan plot, tujuan atau motif (serangan) dilakukan secara kumpulan atau individu. Sebab itu saya sebut di Johor itu adalah ‘lone-wolf’ setelah kita soal siasat dan ambil keterangan daripada mereka yang terlibat.

“Memang di Pulau Pinang itu (kes) mabuk. Jadi ada juga kes kita syak sebagai kes mental pun ada, tapi terlalu awal, biar pihak polis dapatkan semua. Jadi adalah penting bahawa siasatan-siasatan ini kita jalankan tanpa spekulasi atau andaian,” ujarnya.

Dalam kejadian serangan pada pukul 2.54 pagi, Jumaat lalu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Pada hari sama kira-kira pukul 4.40 petang, dua lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat kes cubaan menceroboh Istana Negara.

Sementara, sehari selepas itu, ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendedahkan beliau menerima kertas ugutan bunuh bersaiz A4 bersama dua butir peluru yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya.

Pada Ahad, kira-kira pukul 4.45 pagi, polis memberkas  seorang lelaki dipercayai cuba menyerang seorang anggota dan cuba merampas submesingan jenis HK MP5 di Balai Polis Dato Keramat, George Town, Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×