JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard daripada mengeluarkan kenyataan atau komen berkaitan isu kasino di Forest City, Iskandar Puteri, April lalu.
Hakim, Datuk Abu Bakar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah sama sebelum ini.
Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati perintah yang ditolak hakim Mahkamah Sesyen itu gagal menimbangkan keseluruhan senario kes membabitkan responden yang telah dituduh atas dua kesalahan yang berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan kes hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara tidak wajar untuk mencemar duli bagi menjawab isu-isu yang ditimbulkan dalam media sosial.
“Responden telah pun diberi jaminan bagi kes-kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Dalam keadaan ini, responden bebas untuk menggunakan media sosial untuk membuat hantaran atau komen-komen berkaitan kes ini. Di sinilah Hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan risiko nyata dan besar untuk responden mengulangi hantaran hasutan yang sama terhadap Yang di-Pertuan Agong, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan.
“Mahkamah ini berpendapat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan kepada responden untuk bersuara bukannya hak yang mutlak. Hak bersuara ini tertakluk kepada sekatan undang-undang,” katanya ketika membacakan keputusan itu hari ini.
Abu Bakar berkata, responden tidak perlu menggunakan media sosial untuk mempertahankan hak atas pertuduhan yang dihadapinya kerana turut diwakili oleh seorang peguam yang berpengalaman dan kompeten dalam mendapat perbicaraan yang adil sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 5 (1), Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan alasan-alasan berkenaan Mahkamah Tinggi ini menggunakan kuasa semakan yang ada mengenepikan perintah penolakan larangan bersuara oleh Mahkamah Sesyen, sebelum ini. Mahkamah ini mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) ke atas responden, ejen serta sesiapa wakil daripada apa-apa hantaran atau komen dalam media sosial berkaitan kes ini sehingga perbicaraan diselesaikan,” katanya.
Pada 30 April lalu, Chegu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City menerusi media sosial, namun beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasidah Roslee.
Hakim turut menolak cadangan perintah larangan dimohon dengan alasan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit secara bertulis bagi menunjukkan Chegu Bard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Ghaffar Latif dan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala Chegu Bard diwakili peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali
Dalam pada itu, Muhammad Rafique berkata, pihaknya akur dengan keputusan itu, namun akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan, Putrajaya susulan perintah larangan bersuara itu dalam tempoh 14 hari. – UTUSAN










