Teresa dikirim peluru, nota ugutan

Teresa dikirim peluru, nota ugutan

RUU
TERESA KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menerima surat ugutan berserta dua butir peluru di kediamannya kelmarin.

Menerusi hantaran di media sosial, pemimpin DAP itu memaklumkan, ancaman ber­kenaan diletakkan dalam peti surat.

Beliau berkata, kandungan sampul surat itu mempunyai dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 dengan bertulis kata-kata kesat dan berbau perkauman.

“Saya kemudian membuat laporan polis dan serahkan surat dan peluru kepada polis di Balai Petaling.

“Polis juga datang ke bahagian peti surat di kondominium saya untuk menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Pada masa sama, Teresa mengakui hairan dan tidak memahami kenapa beliau menerima peluru dan surat ugutan seperti itu.

“Saya berterima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas selepas saya buat laporan. Saya yakin pihak polis dapat membantu saya dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis menjalankan siasatan berhubung surat ugutan diterima Teresa.

Menurut beliau, satu laporan diterima pihak polis berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Rusdi berkata, hasil siasatan awal, pihak polis mendapati sampul surat yang dikirim mengandungi sekeping nota berbentuk amaran beserta dua butir peluru.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis memandang serius perkara itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×