Memahami keputusan kes Jill Ireland - Utusan Malaysia

Memahami keputusan kes Jill Ireland

PARA peguam berjalan keluar selepas mahkamah memutuskan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah Allah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 10 Mac lalu, kita dikejutkan oleh keputusan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin dalam kes Jill Ireland v Menteri Dalam Negeri & Kerajaan Malaysia. Saya terpaksa menunggu beberapa hari selepas itu sebelum menerima salinan penghakiman bertulis hakim bicara setebal 96 halaman daripada seorang sahabat di Putrajaya.

Keputusan hakim bicara itu tidak mudah difahami kerana sarat dengan fakta kes serta pelbagai isu undang-undang berkaitan yang dibangkitkan. Secara ringkas, fakta kes ini adalah seperti berikut:

Jill Ireland (pemohon) telah mencabar tindakan responden merampas barang miliknya, lapan cakera padat (CD) pendidikan yang mengandungi kalimah ‘Allah’ pada tajuknya, dibawa masuk ke negara ini untuk kegunaannya sendiri, bukan untuk maksud mengajar atau berdakwah kepada orang lain.

Peristiwa rampasan itu berlaku pada 11 Mei 2008 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang ketika dia baru sampai dari Jakarta, Indonesia.

Pada 28 Ogos 2008, pemohon memfailkan satu permohonan ex parte untuk mendapatkan izin semakan kehakiman. Dalam permohonan itu, pemohon meminta mahkamah mengeluarkan perintah tersebut, antaranya:

(a) Certiorari untuk membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) (responden pertama).

(b) Mandamus untuk mengarahkan responden memulangkan CD tersebut kepadanya.

(c) Satu deklarasi di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan bahawa dia berhak membawa masuk CD itu untuk mengamalkan agamanya.

(d) Satu deklarasi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa dia berhak dilindungi dari diskriminasi.

(e) Satu deklarasi di bawah Perkara 11 bahawa dia berhak menggunakan kaliman ‘Allah.’

BICARA DI MAHKAMAH TINGGI

Pada 4 Mei 2009, pemohon menerima izin mahkamah dan kesnya mula didengar. Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi mengeluarkan dua perintah, iaitu – (a) certiorari untuk membatalkan rampasan yang dilakukan oleh responden pertama, dan (b) mandamus, memerintahkan CD berkenaan dipulangkan kepada pemohon. Malangnya, mahkamah tidak membuat apa-apa perintah mengenai isu Perlembagaan yang disebutkan dalam (c), (d) dan (e) di atas.

Kedua-dua pihak terkilan dengan keputusan mahkamah ini. Responden telah membuat rayuan dan pemohon juga telah membuat rayuan balas. Setahun kemudian, pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan responden, tetapi meluluskan sebahagian daripada rayuan balas pemohon.

Dengan itu, Mahkamah Rayuan menyerahkan balik isu Perlembagaan (dalam (c), (d) dan (e) di atas kepada Mahkamah Tinggi untuk didengar dan diputuskan.

Seperti diarahkan oleh Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi kemudian mendengar hujah kedua-dua pihak mengenai isu Perlembagaan tersebut, dalam prosiding pada Oktober dan November 2017.

Mengikut jadual asal, Mahkamah Tinggi sepatutnya mengumumkan keputusannya pada Mac 2018, tetapi disebabkan beberapa perkara yang tidak boleh dielakkan, ia ditangguh beberapa kali.

Akhirnya, pada Jumaat, 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusannya dan mengeluarkan perintahnya seperti berikut:

(1) Mengesahkan hak Perlembagaan pemohon untuk mempelajari dan mengamalkan agamanya sendiri.

(2) Mengesahkan hak Perlembagaan pemohon untuk tidak didiskrimnasi disebabkan agamanya.

(3) Mengeluarkan deklarasi bahawa pengharaman oleh KDN berhubung penggunaan kaliman “Allah” dalam penerbitan Kristian sebagai tidak sah dan menyalahi Perlembagaan.

Pada 15 Mac lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengesahkan bahawa notis rayuan telah difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada hari itu. Salinan notis itu telah diberikan kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan dan firma peguam yang mewakili Jill Ireland.

KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI

Di bawah ini saya ringkaskan keputusan bertulis Mahkamah Tinggi tersebut:

Dalam perenggan (tujuh) penghakimannya, hakim bicara menyatakan bahawa pemohon (Jill Ireland) adalah “seorang warga negara Malaysia, seorang pribumi bumiputera Kristian daripada suku kaum Melanau Sarawak.”

Kata hakim bicara lagi, pemohon menuntut di sekolah di mana bahasa Malaysia adalah bahasa pengantar. Dia dan keluarganya menggunakan bahasa Malaysia dalam amalan agamanya serta pendidikan agamanya.

Mereka juga menggunakan Al-Kitab dalam bahasa Indonesia, dan bergantung kepada bahan bertulis dan visual dalam bahasa Indonesia dalam amalan agama mereka.

Deskripsi hakim bicara mengenai pemohon di atas adalah amat signifikan, kerana ia berbeza sekali dengan deskripsi penganut agama Kristian yang biasa kita jumpa di Malaysia Barat.

Hakim bicara menegaskan (dalam perenggan 202) bahawa tidak ragu-ragu lagi lapan CD yang dirampas dalam kes ini adalah untuk kegunaan agama peribadi pemohon.

Hakim juga memutuskan (dalam perenggan 203) bahawa “Arahan” yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri bertarikh 5 Disember 1986 mengharamkan penggunaan kalimah “Allah”, “Kaabah”, Baitullah” dan “Solat” adalah bertentangan dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan, dan oleh yang demikian, pemohon adalah berhak mendapatkan deklarasi yang dipohonnya dalam perenggan (c) – iaitu, membawa masuk CD tersebut untuk mengamalkan agamanya.

Selain itu, hakim bicara juga memutuskan (dalam perenggan 204) bahawa diskriminasi oleh responden pertama terhadap pemohon “adalah jelas sejak dari awal lagi”, dan oleh yang demikian, pemohon berhak mendapatkan deklarasi dalam perenggan (d) – iaitu, perlindungan dari diskriminasi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

APA SELEPAS INI?

Pada 18 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menzahirkan sokongan baginda agar Kerajaan Persekutuan meneruskan rayuannya.

Pada 23 Mac lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk yang mengandungi kalimah “Allah” dilarang penggunaannya di Selangor. Baginda juga mahu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memohon menjadi pencelah dalam rayuan ini.

Pada 26 Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, memberitahu wartawan bahawa hasil munaqasyah (perbincangan khas) mengenai isu ini telah pun dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja pada 17 Mac lalu.

Sementara menunggu maklum balas dari Majlis Raja-Raja, isu ini “akan diperhalusi agensi berkaitan bagi merangka tindakan susulan yang lebih tuntas,” tambahnya.

Pastinya banyak kerja yang perlu dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan jika perayu mahu proses rayuan di Mahkamah Rayuan itu berjaya. Sama-sama kita tunggu dan lihat kesudahan kes ini.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×