KONFLIK bersenjata antara Azerbaijan dan Armenia sebenarnya telah pun berlaku sejak awal abad ke-20 lagi. Kali terakhir direkodkan adalah pada 2020 dengan kemenangan di pihak Azerbaijan. Sehingga kini, sebanyak 11 kali perang Azerbaijan-Armenia direkodkan dalam lembaran sejarah.
Saya mahu memfokuskan tentang perang Azerbaijan-Armenia pada 1918 atau lebih spesifiknya, peristiwa pembersihan kaum ke atas warga Azerbaijan dari Mac hingga April 1918. Pembunuhan beramai-ramai atau genocide ini berlaku di Baku, Azerbaijan serta beberapa bandar lain oleh pihak bersenjata Armenia, Dashnak-Bolshevik yang beroperasi di bawah mandat Majlis Baku (Baku Soviet).
Sekilas tentang latar belakang tragedi berdarah ini. Perkembangan pesat industri minyak di Baku pada akhir abad ke-19 menarik penghijrahan secara besar-besaran warga Armenia ke Baku. Pada awal abad ke-20, jumlah pekerja Armenia meningkat dengan drastik. Lalu, mereka mengambil bahagian menjalankan gerakan sosialis serta revolusi di Baku.
Menjelang revolusi Rusia pertama (1905-1907), pihak kebangsaan Armenia daripada parti radikal Dashnaksutyun mula menyebarkan idea kebangsaan dalam kalangan pekerja Armenia di sana.
Terpengaruh dengan idea Greater Armenia yang dibuat pengasas Dinasti Artaxiad dari Armenia, Raja Artaxias I, maka pihak Armenia menjalankan pelbagai jenayah pembunuhan yang kejam ke atas warga Azerbaijan antara tempoh 1905 hingga 1907.
Puluhan ribu orang awam disembelih hanya kerana etnik dan fahaman agama mereka. Apa yang lebih menjengkelkan, Stepan Shaumian, iaitu etnik Armenia yang dilantik sebagai Komisar Tugas Khas bagi negara Kaukasus oleh ketua Bolshevik Rusia, Vladimir Lenin telah mengakui sebanyak 6,000 tentera bersenjata Baku Soviet dan 4,000 dari parti kebangsaan Dashnaksutyun Armenia menyertai pembunuhan beramai-ramai ke atas warga Azerbaijan.
KUBUR BESAR
Tragedi penyembelihan di Baku itu turut meliputi wilayah-wilayah lain seperti Shamakhi, Guba, Iravan, Zangezur, Garabakh dan Nakhchivan. Selama lima bulan pertama pada 1918, lebih 16,000 orang dibunuh dengan begitu kejam di wilayah Guba sahaja, sejumlah 167 kampung dimusnahkan dan 35 kampung tidak lagi wujud di atas peta dunia.
Mangsa kekejaman pengganas-pengganas Armenia ini bukan sahaja dalam kalangan Muslim Azerbaijan bahkan, orang-orang Yahudi Azerbaijan juga turut dibunuh dan disembelih tanpa belas kasihan. Penemuan kubur besar di Wilayah Guba pada 2007 merupakan bukti jelas tentang perlakuan tidak berperikemanusiaan oleh Armenia.
Pembersihan kaum ini telah dirancang dengan teratur dan teliti serta dilaksanakan penuh kejam oleh puak kebangsaan radikal Armenia ke atas warga Azerbaijan yang tidak berdosa.
Kerajaan Republik Demokratik Azerbaijan telah menubuhkan sebuah Suruhanjaya Penyiasatan Luar Biasa bagi menyiasat kejahatan dan jenayah Armenia serta memastikan setiap fakta dan bukti mengenai kekejaman Armenia yang diguna pakai suruhanjaya tersebut sebagai benar dan tepat.
Suruhanjaya siasatan tersebut dianggotai oleh pelbagai peguam terbaik pada waktu itu dari negara-negara berbeza, antaranya Rusia, Poland, Georgia bahkan etnik Armenia juga. Seramai 194 individu telah dituduh dengan pelbagai jenayah terhadap penduduk awam, 24 individu didakwa di Baku dan hampir 100 orang di Shamakhy ditahan.
Malangnya, proses tersebut tertangguh setelah kejatuhan kerajaan Republik Demokratik Azerbaijan. Hanyalah selepas 80 tahun kemudian, iaitu pada 26 Mac 1998, barulah sebuah penilaian politik secara serius diberikan kepada peristiwa pembunuhan beramai-ramai tersebut di bawah titah Presiden Republik Azerbaijan, Heydar Aliyev.

KECAM
Beliau yang juga merupakan bapa kemerdekaan Azerbaijan menandatangani titah tersebut pada 31 Mac 1998 dan mengisytiharkan hari tersebut sebagai Hari Pembunuhan Beramai-ramai Azerbaijan.
Peringatan hari malang itu telah meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap fakta peristiwa penyembelihan dan pembersihan etnik oleh Armenia ke atas Azerbaijan pada masa lalu dan sekarang.
Sejak akhir 1980, pihak Armenia telah melancarkan serangan bertali arus serta menakluki wilayah Azerbaijan dengan cara dan kaedah pembunuhan ke atas ratusan ribu warga Azerbaijan sama ada yang berada di Armenia atau di wilayah-wilayah Azerbaijan.
Sejak dari itu juga, banyak jenayah perang dengan pelbagai kaedah dan kekejaman dilancarkan ke atas warga Azerbaijan termasuklah peristiwa yang pernah saya catatkan sebelum ini iaitu pembunuhan beramai-ramai Khojaly pada Februari 1992.
Dalam mengingati mangsa tragedi 31 Mac 1918, Kementerian Luar Negeri Republik Azerbaijan pada setiap tahun mengeluarkan satu kenyataan mengecam keras dasar pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, diskriminasi kaum dan pembersihan etnik oleh Armenia ke atas penduduk Azerbaijan.
Saya turut berasa kesal dan sedih kerana rakyat Malaysia masih kurang didedahkan dengan peristiwa-peristiwa penting ini. Semoga dengan perkongsian ini, ia dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan kita dengan warga Azerbaijan dari segenap aspek.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










