PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor, bukan ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, kenyataan suspek berusia 21 tahun yang ditembak mati adalah anggota JI berdasarkan siasatan awal melihat kepada pengalaman bapa lelaki terbabit yang juga ahli kumpulan pengganas itu.
“Tiada kaitan dengan JI. Motif serangan dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata , suspek dalam kejadian itu didapati bertindak sendirian dan tiada kaitan dengan kumpulan terancang berdasarkan kesimpulan awal polis.
Kesimpulan itu hasil keterangan diambil daripada 46 individu dalam profil dipercayai berkaitan insiden berkenaan.
“Kita dapati buat peringkat awalan ini bahawa penyerang bertindak bersendirian, kita panggil ‘lone wolf’, dia didorong motivasi tertentu yang dia faham sebab dia tidak bercampur orang.
“Oleh itu, kita boleh buat kesimpulan awal daripada temu bual kita dengan individu yang kita panggil bahawa tindakan (serangan) itu berupa tindakan sendirian yang terpisah daripada satu misi besar atau satu kumpulan terancang… itu tiada,” katanya.
Tujuh individu warga tempatan hari ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan serangan di Balai Polis Ulu Tiram.
Perintah reman dibenarkan oleh Majistret Johor Bahru, Hidayatul Syuhada Samsudin di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berusia lingkungan 19 tahun hingga 62 tahun, yang ditahan semalam susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek awal pagi semalam.
Turut direman, dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.
Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi semalam, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.
Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian.
Anggota polis yang cedera akibat ditembak kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.- UTUSAN










