Perlu berjiwa besar ikut selera rakyat - Utusan Malaysia

Perlu berjiwa besar ikut selera rakyat

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama barisan kepimpinan UMNO pada upacara menaikkan bendera sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIDUP UMNO! Allahuakbar! Laungan itu berkumandang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang sebelum ini dikenali dengan nama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Sabtu dan Ahad lalu.

Seperti kebiasaan, UMNO menganjurkan perhimpunan terbesar kuasa politik bangsa Melayu dan agama Islam walaupun sedikit terlewat kali ini.

Sebagai sebuah parti yang telah berusia 75 tahun dan menjadi pemerintah sejak pilihan raya umum (PRU) pertama pada 1959 sebelum tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, sudah tentu sukar bagi UMNO untuk menjadi sebuah kuasa sekunder. Berada di bawah tembolok kuasa orang lain dengan dicatur bagai menggerakkan biji-biji dam di papannya.

Namun, demi memastikan rakyat tidak terus diperkotak-katikkan oleh Pakatan Harapan (PH), UMNO melalui Barisan Nasional (BN) memilih untuk berjiwa besar dan berpakat bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tanpa persetujuan dan sokongan UMNO/BN dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN), mana mungkin kerajaan PN berjaya dibentuk, sekali gus meruntuhkan sebuah kerajaan yang pernah disokong oleh majoriti rakyat di negara ini.

Maka jangan dimarah atau diejek apabila sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung di WTCKL dan di 190 bahagian seluruh negara secara serentak serta secara maya, parti berkenaan asyik membicarakan soal kuasa primer yang diimpikan UMNO dan BN.

Jika berdalilkan pengalaman, kepakaran dan saiz parti, UMNO dan BN tidak boleh dinafikan paling layak untuk diangkat sebagai sang penguasa primer yang mentadbir negara kita. Malah, keputusan untuk membentuk gabungan blok politik hingga tertubuhnya kerajaan baharu itu pun semata-mata kerana rakyat di bawah.

PAS

Politik Melayu Islam di negara kita mula menjadi kuat dan digeruni apabila UMNO dan Pas yang telah bermusuh sejak enam abad mula saling bermaafan dan membentuk MN.

Di sinilah pencetus kepada kegagalan kerajaan PH yang tidak berdaya membela rakyat kebanyakan kerana kurang pengalaman, ditambah pasukan pembangkang yang paling kuat dalam sejarah Malaysia, yakni MN.

Namun ketika berucap menyampaikan amanatnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi nampaknya cuba ‘menjentik’ rakannya dalam MN iaitu Pas yang mungkin pada pandangan beliau mula beralih arah kesetiaan kepada PN.

Bagi Ahmad Zahid, Pas perlu terus mengekalkan momentum kebersamaan mereka bersama UMNO di dalam MN seperti mana mula-mula Piagam MN dimeterai pada 14 September 2019 di ibu negara.

Kerjasama politik yang dimeterai atas nama penyatuan ummah itu benar-benar mengganggu perjalanan kuasa PH sehingga akhirnya mereka tumbang, lima bulan 10 hari selepas itu.

Sudah pasti UMNO lebih gembira sekiranya PRU-15 mereka tempuhi bersama MN, bukan PN. Namun, berdasarkan senario semasa, nampaknya Pas mempunyai jajaran politik mereka yang tersendiri dengan menyatakan sokongan terhadap PN dan tidak mahu ‘menceraikan’ UMNO di dalam MN.

Sedangkan UMNO pula terus konsisten dengan prinsip mereka iaitu No Anwar, No DAP, No Bersatu dalam menghadapi PRU-15. UMNO hanya bersama Bersatu ketika menjalankan fungsi kerajaan PN sedia ada.

PILIHAN RAKYAT

Kini UMNO bersungguh-sungguh mahu bergerak sendirian atas nama BN kerana baginya, parti yang pernah dominan dalam tampuk kekuasaan negara sejak PRU pertama sehingga PRU-14 letaknya hanya sebagai ketua kerajaan.

Ia ditambah dengan jumlah majoriti rakyat negara ini yang berketurunan Melayu dan beragama Islam, tiada parti lain yang selayaknya boleh diberi mandat mentadbir sebuah kerajaan yang akan membina semula maruah negara ini di persada dunia.

Bagaimanapun, sebagai sebuah negara yang berprinsip demokrasi berparlimen, kuasa penentu yang sebenar terletak kepada rakyat selaku pengundi. Di sini, politik menunjukkan kepada kita tentang sokongan angka. Jika sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN melebihi majoriti mudah, maka dipersilakan untuk parti berkenaan kembali menerajui kerajaan semasa.

Sebaliknya, jika parti itu tidak memperoleh sokongan majoriti, sehebat manapun ia, tetap tidak mampu berkuasa penuh. Yang akan diangkat menjadi ketua kerajaan adalah pihak lain.

Justeru, punya kesedaran dan keinsafan terhadap kekuatan parti sendiri tidak cukup melayakkan sesebuah parti menjadi kuasa primer. Sebaliknya, para pemimpin parti tersebut harus peka, cakna dan berjiwa besar untuk mengikut selera rakyat kebanyakan kerana kuasa ada di tangan mereka.

Bak kata Ahmad Zahid sendiri, tuan kepada UMNO ialah ahlinya dan rakyat. Maka formula sudah diberitahu awal. Jika mahu berkuasa semula, kembalikan kepada tuannya. Tanya apa yang tuannya mahu dan bukan apa yang ‘VIP’ (pemimpin) parti mahu.

Ya, kita tidak nafikan UMNO dan BN memiliki pakej lengkap untuk menjadi sebuah kerajaan yang hebat dalam membina semula imej dan maruah negara. Namun, kita juga tidak boleh nafikan selera rakyat untuk memilih pemimpin kerana ia adalah kunci terakhir sebelum kita masuk ke Putrajaya. Teruskan perjuangan, UMNO!

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×