PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 33 warganegara asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah premis yang merupakan kilang memproses sisa elektronik atau ‘e-waste’ di Klang, Selangor semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, warganegara asing itu terdiri daripada dua lelaki warganegara China, 27 lelaki warganegara Myanmar, dua lelaki warganegara Cambodia, seorang wanita warganegara Myanmar dan seorang wanita warganegara Cambodia.
Katanya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan antara 19 tahun hingga 40 tahun yang bekerja dan tinggal di ruang kilang yang dijadikan asrama sejak empat bulan lalu.
Berita berkaitan:
“Kesemua warganegara asing ini tidak memiliki dokumen perjalanan sewaktu ditahan dan dipercayai disimpan oleh pengusaha kilang yang disyaki merupakan warganegara China.
“Modus operandi kilang ini adalah memproses sisa e-waste yang melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga.
“Berdasarkan invois yang ditemui, sisa e-waste yang diterima hanya dalam jumlah kapasiti tertentu yang akan dipastikan boleh diproses dan disiapkan dalam tempoh seminggu kerana proses tersebut hanya boleh diselia oleh pekerja warganegara China yang berkemahiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, katanya, bagi mengaburi aktiviti ini, dua warganegara China tersebut beralih ke kilang-kilang lain yang menjalankan aktiviti sama sebelum meninggalkan Malaysia dan hasil keuntungan mencecah RM300,000 hingga RM500,000 setelah barangan siap dikitar semula.
“Berdasarkan risikan dan maklumat yang diperolehi= daripada warganegara asing yang ditahan, disyaki syarikat yang menjalankan kitar semula e-waste ini didaftarkan kepada warganegara Malaysia tetapi diuruskan secara proksi oleh warganegara China,” katanya.
Beliau berkata, Imigresen akan meneruskan usaha mengesan pemilik kilang berdasarkan nombor pasport yang diperolehi termasuk pemilik lot tanah tersebut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
“Jabatan sentiasa memandang serius akan isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu, syarikat dan majikan yang terlibat dalam menggajikan PATI, amalan pekerja terabai dan membawa kepada elemen buruh paksa yang seterusnya membawa kepada isu eksploitasi.
“Operasi penguatkuasaan diteruskan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (AKTA 670).
“Orang awam dinasihatkan untuk terus menyalurkan maklumat kepada JIM agar tindakan undang-undang boleh diambil dalam usaha penguatkuasaan ke atas majikan, PATI serta untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” ujarnya. – UTUSAN











