KUANTAN: “Masa dapat panggilan telefon bagi tahu anak saya meninggal ditembak penjenayah, saya ingat scammer. Berulang kali saya cakap betul ke dari balai polis?”
Demikian ujar Ahmad Said Md. Piah, 65, bapa kepada Konstabel Muhammad Shafiq, 24, anggota polis yang terbunuh dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi semalam.
Ahmad Said berkata, dia sememangnya sukar untuk dipercayai kebenaran panggilan tersebut kerana dianggap berita kematian bukan suatu yang boleh dipermainkan.
KEBUN
“Saya mendapat khabar tersebut kira-kira pukul 8 pagi dan ketika itu baharu pulang dari kebun… Kalau telefon daripada balai polis ni memang banyak yang menyamar juga jadi macam tak boleh nak percaya.
“Dalam masa yang sama saya turut menegaskan kepada pegawai yang membuat panggilan berkenaan bahawa anak saya ketika ini sedang elok sahaja kerja menjalankan tugasnya. Antara percaya atau tidak, kemudiannya saya telefon anak sulung yang juga polis di Kuala Lumpur dan dia sahkan benda yang sama… dia juga sudah tahu cuma tidak memberitahu saya lagi.
“Kemudiannya, baharulah saya mula terima berita itu. Luluh hati saya ketika menerimanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Mahkota Jaya, dekat Jaya Gading di sini.
Ibu kepada anggota malang berkenaan, Aini Mohd. Shariff, 57, masih terkejut dan enggan ditemui pemberita.
REKRUT
Muhammad Shafiq merupakan anak ketujuh daripada lapan adik-beradik dan mula berkhidmat di Balai Polis Ulu Tiram pada Jun tahun lalu selepas tamat menjalani latihan rekrut di Dungun, Terengganu.
Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, Muhammad Shafiq merupakan anak yang rapat dengan keluarga walaupun tidak berada di kampung.
Katanya, tiada perubahan ditunjukkan Muhammad Shafiq sejak kebelakangan ini memandangkan dia sememangnya sering menghubungi keluarga terutama ibunya.
“Sejak berpindah ke Ulu Tiram, Muhammad Shafiq hanya pulang sekali sahaja pada Februari lalu dan pada hari raya lalu juga diberitahu tidak mendapat cuti namun merancang pulang ke kampung pada Jun atau Ogos depan.
“Kali terakhir menghubungi kami pula pada penghujung Syawal lalu bertanya nak makan apa kerana dia mahu belanja sempena hari lahir ibunya dan tak berapa lama ada seorang rakannya di sini menghantar kirimannya.
“Walaupun sedih dengan kehilangan ini, namun saya reda dan sudah sampai masa dia… sampai umurnya Allah SWT akan jemput. Saya terima ketentuan ini,” katanya yang merupakan seorang bekas tentera.
Jenazah Muhammad Shafiz dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang di sini, esok. – UTUSAN










