Balai polis diserang: YADIM seru orang ramai jangan buat spekulasi - Utusan Malaysia

Balai polis diserang: YADIM seru orang ramai jangan buat spekulasi

Anggota polis memeriksa kelongsong peluru dalam kes tembakan menyebabkan dua anggota polis meninggal dunia manakala seorang suspek terbunuh Jumaat lalu. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor hari ini.

Pengarah YADIM negeri Johor, Muhammad Ammar Abdullah berkata, serangan itu disifatkan sebagai insiden malang yang menimpa negara.

“Tindakan tersebut melampau dan tidak sepatutnya berlaku di negara yang damai ini, sekaligus memberikan gambaran buruk kepada imej negara.

“Semoga roh kedua-dua orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, YADIM menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.

“Orang ramai juga diseru untuk tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa untuk maklumat sebenar,” katanya.

Awal pagi tadi, dua anggota polis yang bertugas di Balai Polis Ulu Tiram, Johor maut selepas diserang suspek dipercayai ahli Jemaah Islamiyah (JI).

Setakat ini polis telah menahan tujuh individu termasuk bapa kepada suspek utama dalam serangan maut itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×