3,000 penduduk Karen lari ke Thailand - Utusan Malaysia

3,000 penduduk Karen lari ke Thailand

PENDUDUK kampung termasuk kanak-kanak melarikan diri selepas tentera mengebom lima kawasan di negeri Karen, tenggara Myanmar. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Dianggarkan 3,000 penduduk di negeri Karen di tenggara Myanmar melarikan diri ke Thailand selepas pasukan tentera mengebom kawasan yang dikuasai kumpulan militia kelmarin.

Menurut Organisasi Wanita Karen, junta tentera Myanmar melancarkan serangan udara di lima kawasan di daerah Mutraw berhampiran kawasan sempadan.

“Ketika ini, penduduk kampung bersembunyi di dalam hutan dan mereka akan masuk ke Thailand bagi mendapatkan perlindungan.

“Kami menggesa tindak balas segera dari komuniti antarabangsa memandangkan situasi semakin tidak terkawal,” jelas kumpulan itu dalam kenyataan.

Portal berita Thai PBS melaporkan, kira-kira 3,000 penduduk Myanmar sudah tiba di sempadan negara itu.

Namun, pihak berkuasa Thailand belum memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Rangkaian Sokongan Keamanan Karen menyatakan serangan udara itu berlaku selepas dua jet tempur menjatuhkan sembilan bom di kawasan terlibat kelmarin.

Jelas rangkaian itu, tiga orang maut dan tujuh cedera parah dalam serangan tersebut, selain berlaku beberapa lagi serangan semalam.

Sehubungan itu, Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) dan Majlis Pembangunan Negeri Shan yang berpangkalan di sempadan Thailand mengkritik serangan yang dilancarkan tentera Myanmar dan menegaskan pendirian mereka bersama rakyat negara ini.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut menyelar keganasan yang berlaku di Myanmar dengan menyifatkannya sebagai ‘sangat melampau’.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, banyak penduduk tidak berdosa termasuk kanak-kanak terkorban. Perkara ini tidak seharusnya berlaku,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×