MELAKA: Kira-kira 100 penduduk Taman Pandan Maju di sini tidak dapat tidur lena sejak lebih sebulan lalu, kerana bimbang kereta yang di parkir di dalam dan hadapan rumah diselongkar individu tidak dikenali.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohd. Zulhairi Adnan, 36, berkata, kejadian pertama berlaku awal bulan lalu di Taman Pandan Indah diikuti Taman Seri Pandan dan Taman Pandan Maju.
Katanya, pelaku dipercayai menyasarkan kenderaan tidak berkunci termasuk yang diletak dalam kawasan berpagar.
“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pelaku dipercayai individu yang berbeza tetapi menggunakan modus operandi sama. Mereka aktif sekitar pukul 4.30 pagi. Setakat ini tiada barang berharga dilaporkan hilang. Bagaimanapun pelaku semakin berani apabila mula memanjat tembok untuk memasuki kawasan rumah.
“Situasi ini membuatkan penduduk berasa bimbang dan tidak tidur lena setiap malam. Laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan saya berharap rondaan di kawasan perumahan ini dapat ditingkatkan demi keselesaan dan keselamatan penduduk,” katanya.
Sementara itu, mangsa, Mohammad Hashim, 55, berkata, dia hanya menyedari kereta milik isterinya diselongkar kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa lalu.
Menurutnya, ketika kejadian kereta tersebut diletak dalam kawasan rumah. – UTUSAN










