Tablet percuma untuk pendidik, murid

Tablet percuma untuk pendidik, murid

AHMAD ZAHID Hamidi (dua dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Datuk Sulaiman Wak, 65, pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan berhasrat menyediakan ‘tablet’ percuma kepada semua murid dan guru sekolah dalam usaha memperkasakan pembelajaran teknologi digital di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan dibuat berfasa berdasarkan peruntukan diterima kerana tablet amat diperlukan apabila kaedah pembelajaran telah berubah kepada digital.

“Walaupun kita tahu keka­ngan kewangan menjadi faktor utama, ia boleh dibuat secara berfasa dan insya-Allah saya akan mendokong semua program yang dirancang oleh Kementerian Pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini semalam.

Katanya, walaupun tahun ini sebanyak RM58.7 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, beliau yakin bajet tahun depan akan bertambah bagi pembelian perkakasan melaksanakan kaedah pembelajaran secara digital.

Sementara itu katanya, da­lam usaha memastikan Dasar Pendidikan Digital mencapai objektif yang digariskan, seba­nyak 8,104 makmal komputer di sekolah perlu dinaiktaraf agar mampu digunakan sepenuhnya oleh guru dan murid.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan tiada lagi murid dan pelajar yang terpaksa panjat pokok untuk mendapatkan liputan internet demi proses pem­belajaran mulai akhir tahun ini.

Katanya, beliau memahami permasalahan itu dan sudah pun memaklumkan kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo supaya segera menyelesaikan perkara tersebut.

“Kita telah ada liputan 5G, sesebuah negara yang besar mereka telah ada 5.5G, maka dalam hal ini kita akan terus memberikan liputan internet bagi kawasan yang berpendudukan rendah agar dapat diberikan capaian terutama di kawasan Felda, desa, Orang Asli dan kawasan pendalaman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×