KUALA SELANGOR: Enam lagi syarikat konsesi lebuh raya bersetuju melaksanakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) mulai September depan.
Ia melibatkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Linkedua, Lebuhraya Grand Saga, Lebuhraya Grand Sepadu dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) membabitkan sebanyak 35 lorong keseluruhan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menghargai kerjasama kesemua lebuhraya itu dalam menjayakan inisiatif berkenaan yang dilaksanakan sejak September tahun lalu.
“Usaha yang dilaksanakan Lembaga Lebuhraya (LLM) itu bertujuan bagi memudahkan pengguna lebuh raya membuat bayaran di setiap lorong plaza tol.
“Kalau dulu, pengguna hanya menggunakan pembayaran Touch n Go, Smart Tag dan RFID namun kini turut diberi pilihan membuat bayaran dengan kad kredit dan debit,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan projek lebuh raya Seksyen 7 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Tanjong Karang, hari ini.
Sehingga kini, sebanyak 13 syarikat konsesi lebuh raya di negara ini telah melaksanakan SPT berkenaan.
Ia antaranya melibatkan Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP).
Sistem itu turut dilaksanakan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX), Lebuhrava Duta – Ulu Kelang (DUKE); dan Lebuhraya Kulim – Butterworth (BKE).
Dalam pada itu, mengulas isu kejadian pokok tumbang di lebuh raya hingga mengancam nyawa pengguna, Alexander memberitahu, perkara berkenaan telah dibincangkan beberapa kali dalam mesyuarat yang turut melibatkan kementerian lain sebelum ini.
Jelasnya, mesyuarat itu diadakan bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kita telah berbincang tentang hal ini (kejadian pokok tumbang di lebuh raya) iaitu siapa (kementerian mana) sepatutnya bertanggungjawab tentang ROW (Right of Way) di Jalan Persekutuan.
“Memang sudah ada perbincangan dan kita hendak pastikan apa yang terbaik bagi menangani masalah itu dan siapa sepatutnya bertanggungjawab,” ujarnya. – UTUSAN









