SEREMBAN: Seorang pengurus syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM401,075 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa lelaki berusia 51 tahun itu telah membuat laporan polis semalam berhubung modus operandi penipuan sindiket dalam talian itu.
“Mangsa telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp dengan beberapa individu tidak dikenali dan telah menyertai pelaburan secara dalam talian.
“Mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak 19 kali transaksi menggunakan wang miliknya sendiri bermula 21 Mac hingga 12 Mei lalu dengan kerugian berjumlah RM401,075,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Jelas beliau, penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian merupakan antara kes yang mencatatkan jumlah kerugian tertinggi berbanding kes-kes lain bagi suku pertama tahun 2024.
“Orang ramai justeru dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada pihak yang menawarkan pelaburan secara dalam talian dengan keuntungan yang tinggi.
“Segera buat semakan dengan pihak polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.-UTUSAN.










