MELAKA 16 Mei: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka akan mula memasang perangkap di lokasi kejadian seekor buaya membaham seekor ibu kambing di tebing sungai Malim berdekatan Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang, Kampung Tengah dekat sini petang Selasa lalu.
Pengarahnya, Petra Sulai berkata, pihaknya juga akan membuat rondaan secara berkala di sekitar kawasan lokasi dan mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan tersebut.
Menurutnya, lokasi kejadian merupakan habitat buaya dan papan tanda milik Perhilitan telah dipasang di kawasan tersebut.
Berita berkaitan:
Beliau berkata, berdasarkan rekod setakat ini tiada kes kecederaan atau kematian manusia akibat diserang buaya berlaku di negeri ini.
“Mengikut Rekod Aduan Konflik Hidupan Liar, Perhilitan sering menerima aduan mengenai kemunculan buaya di kawasan ini pada tahun 2020, 2022, 2023 dan 2024.
“Kawasan ini juga telah dikenal pasti merupakan kawasan habitat buaya dan papan tanda amaran telah dipasang Perhilitan berdekatan Pintu Kawalan Air Pasang Klebang. Ini merupakan kejadian pertama,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Petra berkata, hasil siasatan awal mendapati dalam kejadian pukul 6.00 petang itu, kambing milik pengadu berada di gigi air sungai tersebut.
Menurutnya, muncul seekor buaya dipercayai buaya tembaga telah menyerang dan membaham kambing tersebut sebelum melarikan diri ke arah hulu sungai.











