ALOR SETAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berharap peruntukan RM100 juta bagi Program Usahawan Tani (INTAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) tidak terbazir begitu sahaja seperti terjadi terhadap program lain sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Pesawah, Abdul Rashid Yob berkata, walaupun pihaknya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain berkaitan pertanian menyambut baik langkah itu, namun, beberapa perkara perlu diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, peruntukan dan program itu amat baik kerana objektifnya bagi menangani isu keselamatan dan keterjaminan makanan, selain membantu mengawal harga pasaran.
Menurutnya, kerajaan perlu memberi tumpuan penuh terhadap setiap elemen dalam program tersebut secara menyeluruh agar kejayaan dapat diperoleh pada akhir program, seperti yang disasarkan ketika ini.
“Berdasarkan pengalaman kami, banyak projek atau program yang dilancarkan kerajaan akhirnya entah ke mana. Duit rakyat dibazirkan begitu saja antaranya program pertanian bandar, pakej rangsangan ekonomi (PRE) dan lain-lain yang seakan tidak memberi hasil.
“Justeru pihak yang diberi tanggungjawab untuk menyelia program itu perlu pastikan usahawan mahupun petani terlibat mendapat bimbingan sepenuhnya mengenai apa yang perlu dilakukan. Mereka perlu dipantau dari masa ke semasa agar usaha masing-masing tidak terhenti di tengah jalan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberitahu Utusan Malaysia, program INTAN yang akan dilaksanakan melalui kaedah pertanian moden bertujuan meningkatkan keberkesanan usaha pembasmian kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat dengan sasaran 1,200 peserta bagi mengusahakan 600 ekar tanah.
Menurut beliau, model baharu pelaksanaan program itu diperkenalkan dengan penyertaan syarikat-syarikat swasta terpilih secara request for proposal (RFP) yang mempunyai kemahiran dan keupayaan menjadi rakan strategik kerajaan dan orang awam bersama mengusahakan projek pengeluaran hasil pertanian di seluruh negara.
Sementara itu, tambah Abdul Rashid, antara masalah yang sering menghantui para usahawan sebelum ini adalah berkaitan dengan penembusan pasaran dan kerajaan perlu sentiasa memerhatikan perkara itu bagi memastikan kejayaan INTAN.
“Kolaborasi melibatkan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu diwujudkan agar rantaian itu berjalan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rashid turut menzahirkan harapan agar kerajaan benar-benar memastikan supaya mereka yang mengikuti program itu terdiri daripada mereka yang bersungguh-sungguh mahu menjayakannya dan bukan sekadar memperolehi peruntukan semata-mata.
“Selain itu aspek birokrasi turut perlu diberi perhatian. Ada kalanya, mereka yang benar-benar mahu berusaha ini sampai hilang semangat kerana berdepan pelbagai masalah termasuk berkaitan dokumentasi,” katanya.-UTUSAN










