KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) perlu mengubah strategi menarik minat golongan muda meskipun sebelum ini ia mendominasi pengundi muda sejak 15 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Adam Adli Abd Halim berkata, ini kerana sehingga hari ini kerajaan belum membuktikan dasar yang diwujudkan khusus untuk golongan muda dapat memenangi hati mereka.
“Pengundi muda sejak 2008 sehingga 2018 menjadi kita punya support base sehingga ke hari ini. Namun peralihan berlaku sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan cabaran sekarang adalah bagaimana untuk PH sebagai kerajaan buktikan dasar yang dikeluarkan sebenarnya memberi kelebihan untuk generasi muda.
“Ia belum nampak kesan kepada dasar, jadi dalam hal ini ia menuntut kerajaan perpaduan perlu berusaha dalam menterjemahkan dasar-dasar ini pada mesej yang lebih mudah dan lebih jelas. Kerana setiap dasar yang dibuat kerajaan ia dapat memberi pulangan lebih baik malah kita juga adalah gabungan yang mewakili golongan muda dengan lebih ramai berbanding pembangkang yang diwakili golongan senior.
“Setakat ini kerajaan belum berjaya dengan sebaiknya bagi menterjemahkan satu ‘nahu’ pada bahasa orang muda supaya mereka nampak itu adalah untuk mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Adam dalam masa yang sama turut mengakui PH tidak popular dalam kalangan anak muda kini kerana tewas dengan isu yang dimainkan pembangkang khususnya melibatkan perkauman.
“PH sudah menjadi pembangkang lebih 20 tahun, berdekad lama sejak penubuhan Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif, jadi asas yang dibina Pakatan dari sudut PKR, DAP dan Amanah sehingga menjadi undi popular dan muncul menjadi kerajaan, berbeza dengan Perikatan Nasional yang membina kekuatan sewaktu menjadi kerajaan.
“Cuma saya kira susah sebab isu-isu yang dibawa dalam zaman sekarang golongan muda jauh beza dengan isu yang dibincangkan pada sebelum ini.
“Waktu dulu banyak isu pendidikan, kebebasan bersuara dalam kalangan pelajar, hari ini isu berbeza kerana lebih banyak berkisar soal agama, perkauman. PH adalah gabungan yang tidak menunggang isu agama dan kaum dalam mencari sokongan politik, sebab kita tumpu pada isu dasar dan ekonomi dan isu ini tidak mudah untuk dipopularkan.
“Tetapi, kali ini pengundi baharu dan muda ini memerlukan pendekatan yang berbeza dan kita perlu akui yang golongan ini sukar untuk dekat pada perkara yang bersifat dasar dan polisi.
“Contohnya kalau kita cakap pasal cukai subsidi, mereka dikelirukan dengan menjelaskan yang kerajaan menarik kembali subsidi, walawpun dengan cara itu dapat memulihkan peluang pekerjaan,” ujarnya.
Maka, sebab itu katanya lagi, strategi perlu diperkemas untuk menambat hati golongan muda selaras dengan pendekatan trend hari ini.
“Kita kena cari strategi dan apa bentuk kempen yang lebih berkesan dan mengesankan,” ujarnya.
Maknanya kata beliau, yang lebih sampai kepada golongan muda, bukan soal menyampaikan fakta tetapi bagaimana mahu menjadikan fakta itu lekat dalam hati dan boleh bermain dengan emosi golongan muda sebagaimana pembagnkagn memainkan emosi golongan muda.
“Kita akui setiap perkara yang disampaikan bukan bersifat emotif, sebaliknya bersifat logik, kita ajak rakyat kepada perkara yang bersifat fakta berbanding pembangkang melaga-lagakan orang dan itu masalah yang dihadapi,” katanya lagi. – UTUSAN










