KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani turut menjatuhkan hukuman 12 sebatan terhadap Mohd. Nazirul Amri Mat Jamel, 28, selepas tertuduh didapati bersalah di akhir kes pembelaan, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Nazirul Amri didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 708.4 gram.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di pekarangan Perhentian Bas Bandar Jerteh, Besut, kira-kira pukul 9 malam pada 29 Julai 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara terhadap Mohd. Nazirul Amri bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 29 Julai 2020.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd. Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nizam Mohamed. – UTUSAN










