REMBAU: Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman, 83, meninggal dunia di kediaman rasminya di sini pagi tadi, akibat sakit tua.
Datuk Perba, Abdul Razak Mohd. Yassin berkata, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di surau kediaman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Mungkal Sepri selepas solat Asar.
Menurut beliau, majlis mendirikan adat akan dilaksanakan bermula pukul 11.30 pagi ini dan rakyat di daerah ini boleh menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman rasmi pada pagi ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini berkata, berita berkenaan merupakan kehilangan yang besar buat rakyat di Rembau lebih-lebih lagi Allahyarham sangat memberikan kerjasama dalam pelbagai hal terutamanya keagamaan serta adat istiadat.
“Allahyarham seorang yang sangat baik dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama demi kebaikan Luak Rembau. Sebelum ini, Allahyarham ada mendapatkan rawatan dialisis, namun masih memberikan kerjasama baik dalam setiap program keagamaan dan adat perpatih,” katanya.
Allahyarham dilahirkan pada 14 Ogos 1941 di Kampung Waris Tebat, Chembong Kecil, di sini dan telah dimahsyurkan sebagai Undang Luak Rembau ke 21 pada 21 November 1998.
Sebelum itu Allahyarham merupakan Orang Besar Undang yang bergelar Dato’ Shahbandar iaitu gelaran yang terkanan di antara empat Orang Besar Undang. Allahyarham berketurunan Lela Maharaja Suku Biduanda, Waris Nan Dua Carak (Perut Tebat). –UTUSAN.










