IPOH: Helah licik sindiket penyeludupan daging anak babi sejuk beku yang berselindung di sebalik kontena sayur-sayuran terbongkar dengan penemuan kotak berisi 9,634 bungkus daging bernilai RM1.04 juta, 7 Mei lalu.
Pemeriksaan pada pukul 12 tengah hari di Pelabuhan Klang, Selangor itu juga membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, pemeriksaan ke atas kontena berkenaan dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Ipoh.
Katanya, siasatan awal mendapati kontena tersebut pada asalnya diikrar sebagai sayur-sayuran sejuk beku di dalam Borang Kastam 1 dengan sebahagian kecil kontena diisi beberapa kotak mengandungi sayur-sayuran.
“Setelah pemeriksaan dijalankan, pasukan penguat kuasa menemui 9,634 bungkus daging anak babi sejuk beku seberat 23,121 kilogram (kg) di dalam kontena di mana ia tidak sama seperti yang diikrarkan di dalam Borang Kastam 1.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kesemua kotak yang berisi daging itu tidak memiliki pelekat yang sah daripada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Malah, pihak pengimport juga tidak mempunyai permit yang sah daripada MAQIS dan Jabatan Veterinar untuk membawa masuk daging itu ke dalam negara,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, kontena yang mengandungi daging anak babi sejuk beku itu diimport masuk dari Vietnam untuk dijual di pasaran tempatan.
Beliau berkata, pengimportan komoditi sejuk beku itu tertakluk kepada Butiran 1(1) Jadual Ketiga Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenal Import) 2017 yang memerlukan permit import dengan kelulusan Ketua Pengarah MAQIS dan Jabatan Veterinar.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran yang salah dan memalsukan dokumen.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau. –UTUSAN










