GEORGE TOWN : Kerajaan negeri telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk memantau keadaan pokok-pokok yang berada di sekitar negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, ketika ini, memo juga telah dikeluarkan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk tujuan yang sama.
“Kita telah arahkan MBPP dan MBSP untuk menjalankan pemantauan serta pemeriksaan pokok-pokok yang berada di negeri ini kerana jumlahnya mencecah jutaan pokok memandangkan kita ada program penanaman pokok baharu di negeri ini.
“Sehubungan itu, MBSP dan MBPP perlu menghantar laporan mengenai keadaan pokok-pokok kepada saya setiap minggu bagi memastikan kesemua pokok adalah selamat dan tidak berbahaya kepada orang ramai,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, lima buah kereta dilaporkan rosak akibat dihempap pokok yang tumbang gara-gara hujan lebat dan angin kencang di sini beberapa hari yang lalu.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang berkata, kejadian itu berlaku di sekitar Jalan Macalister iaitu berhampiran bangunan YMCA di sini.
Menurut Jason, sebelum ini juga pihak MBPP dan MBSP sentiasa menjalankan pemantauan pokok secara berkala di kawasan masing-masing.

“Memang ada pegawai yang bertugas untuk membuat rondaan, malah, MBPP dan MBSP ada melantik kontraktor untuk membuat pemangkasan ranting-ranting pokok tersebut.
“Di Pulau Pinang, kita faham soal mengenai pokok ini sensitif. Ramai yang sayangkan pokok dan memang dalam Akta Kerajaan Tempatan ada ukuran pokok yang tertentu yang kita tidak boleh potong dengan sewenang-wenangnya. Ia perlu mendapat kelulusan jawatankuasa PBT.
“Cuma, dalam hal ini kita perlu pastikan pokok-pokok yang agak tua berusia lebih 80 tahun atau 100 tahun berada dalam keadaan selamat menerusi pemantauan,” katanya.-UTUSAN










