Dua ditahan jual cermin kenderaan disyaki tiruan

Dua ditahan jual cermin kenderaan disyaki tiruan

AZMAN ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan di tiga premis di Petaling Jaya, Selangor dan   sebuah premis di Kepong, di sini kerana menjual cermin kenderaan disyaki tiruan. 

Tangkapan itu dilakukan dalam operasi oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama KPDN Selangor dan KPDN Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu. 

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan hasil aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar cermin kenderaan dan risikan pihak KPDN. 

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, kami menemui 153 cermin hadapan kenderaan yang disyaki menggunakan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

“Kesemua cermin hadapan kenderaan itu bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM140,200,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Menurut beliau, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 20 dan 31 tahun yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit  ditahan bagi membantu siasatan.

Azman berkata, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613]. 

“KPDN akan menyiasat termasuk kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan,” jelasnya. 

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya  berhati-hati terutamanya apabila membeli alat ganti kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×