PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) masih menguasai sokongan kumpulan pengundi berusia 40 tahun ke bawah meskipun Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Sabtu lalu.
Institut Darul Ehsan (IDE) memaklumkan, PN meraih sokongan 59 peratus pengundi berusia 31 hingga 40 tahun, 65 peratus (25-30 tahun) dan 63 peratus (18-24 tahun) berbanding PH.
Menurut IDE, sebaliknya pola pengundian menunjukkan PH hanya menguasai undi bagi kategori umur 41 tahun ke atas.
Dalam pada itu, IDEA melaporkan, PN masih lagi menguasai sokongan pengundi Melayu dengan 55 peratus manakala PH, 39 peratus.
Namun begitu, PH-Barisan Nasional (BN) memperolehi tiga peratus peningkatan sokongan Melayu.
“Sokongan kaum Cina masih kekal dengan PH. Sokongan kaum India kepada PH-BN menunjukkan peningkatan lapan peratus,” jelas laporan analisis dikeluarkan IDE, semalam.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan PH menerusi calon mereka, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi apabila memperoleh 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.
Pencabar utama Sock Tao daripada PN, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.
Selain itu, PH-BN menguasai kembali dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kawasan orang Melayu iaitu Kampung Air Jernih dan Pertak yang telah kalah pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.
“PH masih kekal menguasai PDM majoriti Cina dan kawasan campuran pelbagai kaum.
“PN kekal menguasai 2 PDM Melayu iaitu Bandar Utama Batang Kali dan Ampang Pecah. Dua kawasan ini dikuasai PN dalam PRU dan PRN sebelum ini,” kata laporan itu. – UTUSAN











