Diskriminasi gender masih menghantui dunia - Utusan Malaysia

Diskriminasi gender masih menghantui dunia

(DARI kiri) Pengerusi acara, Themina, Lorela, Retta Rita Reddy, Sheila dan Brenda pada forum Breaking Barriers: Stories from Women in Work anjuran All Women’s Action Society (AWAM), di Petaling Jaya, baru-baru ini. – GAMBAR HALINA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu mengenai diskriminasi gender, buli di tempat kerja dan gangguan seksual ke atas wanita kedengaran lapuk tetapi hakikatnya, ia masih menjadi halangan dalam kerjaya wanita.

Itu belum lagi membabitkan polisi dan dasar syarikat yang kurang mesra atau tidak membela nasib wanita sehingga ramai terpaksa melupakan hasrat berjaya dalam kerjaya lantas berhenti kerja dengan mengutamakan anak-anak dan suami.

Wartawan, Pengarah Partner & Communications, Tehmina Kaoosji berkata tempoh cuti bersalin di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan berbanding yang dinikmati pekerja di Semenanjung Malaysia.

“Ordinan buruh di Sabah dan Sarawak, 90 tahun terkebelakang berbanding yang ada di Semenanjung. Ini bermakna, sehingga kini cuti bersalin masih 60 hari dan tiada cuti paterniti sebanyak 70 hari.

“Malah tiada perlindungan diskriminasi dan gangguan seksual di tempat kerja. Pada sambutan Hari Pekerja baru-baru ini, Perdana Menteri menggumumkan pindaan akan dibuat di persidangan Parlimen akan datang,” katanya ketika mempengerusikan forum Breaking Barriers: Stories from Women in Work, anjuran All Women’s Action Society (AWAM), di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ahli panel forum lain alah Presiden, Persatuan Bekalan Lestari Malaysia Rantaian dan Inovasi (MASSCI), Datin Lorela Chia, Perunding Gender, Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Retta Rita Reddy, Perunding  People Development, Sheila Singam dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kesaksamaan & Kepelbagaian Gender, KL Bar, Brenda Rangithan.

Isu lain membelenggu wanita adalah gaji mencukupi, hidup lebih bermaruah dan membuat pilihan gaya hidup lebih sihat.

Tehmina berkata Menteri Ekonomi mendedahkan, 47 peratus pekerja Malaysia mendapat gaji di bawah garis kemiskinan.

Sedangkan gaji minimum sebanyak RM1500 masih tidak dibayar majikan. Sempena Hari Buruh, diminta untuk dinaikkan sehingga RM2,000 namun jumlah itu masih belum melepasi garis kemiskinan.

Wanita semua peringkat

Apabila dikatakan negara memerlukan 30 peratus wanita di peringkat pengarah, reaksi Lorela ialah, mengapa tidak 50 peratus?.

“Ramai menyuarakan rasa kecewa apabila sesuatu jawatan penting diberikan kepada wanita sedangkan ramai lagi lelaki yang tidak layak memegang jawatan yang sama tidak dipertikaikan.

“Ada 60 peratus wanita dalam industri 4.0 dan kejuruteraan yang diceburinya tetapi hanya 16 peratus saja yang memegang jawatan tahap pengarah,” kata Lorela.

Ujarnya, dalam bidang ini, banyak urusan berkaitan persidangan, mesyuarat dan pameran didominasi wanita tetapi diuruskan oleh lelaki.

Kalau mahu mengubah budaya di tempat kerja, memang mudah mengatakan untuk menawarkan kerja kepada lebih ramai wanita. Namun, adakah wanita mempunyai akses pendidikan dan peluang sama seperti lelaki?

“Perkara ini perlu dilihat dengan teliti tetapi sebelum itu, kita perlu mendidik pekerja di tempat kerja mengamalkan budaya yang sihat di tempat kerja,” katanya.

Antara halangan struktur di tempat kerja dihadapi wanita ialah cara syarikat diuruskan yang memerlukan pekerja berada di tempat kerja dalam masa lebih panjang sedangkan wanita perlu juga menguruskan anak-anak.

“Pekerja wanita biasanya perlu mengambil anak dan menguruskan rumahtangga tetapi terpaksa bekerja lebih lama.

“Halangan lain ialah apabila terpaksa meninggalkan anak di rumah untuk bekerja. Masalah ini lebih berat apabila mereka tiada sistem sokongan lain seperti keluarga terdekat untuk menjaga anak sementara ibubapa bekerja.

“Ibu bapa sepatutnya dibenarkan membawa anak ke pejabat bila perlu tetapi ramai berpendapat ia tidak profesional.

“Mengapa tidak? Saya rasa ia bagus kerana anak-anak dapat melihat ibu atau bapa mereka bekerja. Mereka boleh belajar untuk menghormati kerja ibubapa dan melihat bagaimana mereka bekerja keras,” katanya yang mengakui melihat sendiri ibunya bekerja, memberikan kekuatan kepadanya untuk berjaya dalam kerjaya.

Miskin, pendidikan jadi halangan
Kemiskinan menghalang wanita muda mendapatkan pendidikan dan kemahiran.

Malah di pedalaman Sabah dan Sarawak, ramai berkahwin muda kerana kemiskinan dan tiada pekerjaan.

Retta Rita Reddy berkata, kehamilan remaja berlaku kerana mereka tidak faham mengenai hak dan kesan daripada tiadanya pendidikan seksual dan akses pengetahuan kepadanya.

Daripada perspektif UN, terdapat punca dan hubungan antara kemiskinan dengan kerja tidak berbayar.

Ini terutamanya membabitkan wanita bujang dan ibu tunggal yang menjaga rumah dan keluarga termasuk ibubapa yang sakit atau berusia emas.

“Mereka tiada pendapatan kerana tiada orang yang boleh menjaga anak-anak mereka. Mereka menjadi penjaga dan tidak berpeluang memasuki sistem pekerjaan.

“Jadi, kepentingan penjagaan kanak-kanak juga perlu dititikberatkan bagi memberi peluang wanita bekerja. Jika tidak, kemiskinan akan terus diwarisi anak kerana hak mereka dinafikan,” katanya.

Justeru, jurang cuti bersalin untuk ibu dan bapa perlu dirapatkan bagi memastikan anak yang baharu dilahirkan mendapat penjagaan sempurna.
Pada masa ini, cuti bersalin 98 hari, cuti paterniti hanya tujuh hari untuk si ayah.

Bagaimanapun, ujarnya sekarang wanita kurang digaji kerana majikan terpaksa membayar kos yang tinggi untuk cuti bersalin.

Tambah Retta lagi, berdasarkan kajian Kesihatan dan Morbiditi, 33 peratus wanita di negara ini yang hamil pada tahun 2022, tidak bersedia hamil.

Ini menjurus kepada pengguguran yang tinggi tanpa mengira latarbelakang terutama dari golongan tidak bernasib baik yang tidak mempunyai pilihan.

“Undang-undang buruh antarabangsa UN, mencadangkan cuti bersalin sebanyak 14 sehingga 18 minggu bergantung kepada negara masing-masing.

“Jepun memberikan cuti 12 bulan kepada ayah apabila isteri bersalin. Baru-baru ini, India memberikan cuti setahun kepada ibu bersalin tapi ia masih belum dilaksanakan,” katanya.

Negara lain seperti Iceland memberi ayah cuti enam bulan, Finland 164 hari dan Sepanyol 16 minggu untuk cuti paterniti.

Bagi mengurangkan beban majikan, elaun dan pelepasan cukai diberikan oleh kerjaaan. Di Australia, setiap bayi yang dilahirkan diberikan elaun sebanyak RM5,000.

Kesihatan Wanita
Isu kesihatan pekerja khususnya wanita di tempat kerja perlu dipertingkatkan.

Sheila Singam berkata, wanita seringkali menghadapi isu kesihatan seperti cepat letih, tidak bermaya dan sebagainya disebabkan budaya bekerja yang tidak sihat. Namun apabila menjalani pemeriksaan, doktor mendapati semua sihat.

“Tingkatkan kesihatan di tempat kerja. Isu seperti gangguan seksual boleh menjejaskan produktiviti wanita tetapi ia sukar dilaporkan. Justeru, wanita perlu ada suara yang kuat di semua peringkat organisasi,” katanya.

Ramai wanita beliau temui dalam kursus latihan dianjurkannya, mengakui rasa bersalah dengan keinginan mencapai cita-cita dan tanggunggjawab menjaga anak.

Sesetengah industri sangat tegas dengan polisi syarikat. Wanita yang balik ke rumah tepat jam lima petang untuk menjemput anak-anak dan memasak untuk keluarga, dianggap tidak berdedikasi.

“Itu sebab mereka tidak dinaikkan pangkat ke peringkat pengarah dan lebih tinggi. Ini menyebabkan wanita tidak lagi bercita-cita tinggi menduduki jawatan tinggi.

“Lebih menyedihkan ada bos wanita yang tidak menyokong pekerja wanita dengan alasan, mereka juga pernah melalui perkara yang sama dan wanita tidak boleh mengeluh,” katanya.

Alasan lain, ada wanita tidak mahu mejawat jawatan lebih tinggi daripada suami, malah ada segelintir ketua merasakan sia-sia melatih pekerja wanita yang akhirnya akan berhenti kerja bila mula membina keluarga.

Jepun boleh dijadikan contoh dalam mempromosikan budaya sihat di tempat kerja dengan membelanjakan 2.9 juta USD menangani isu kesihatan wanita seperti kanser, menopause dan penyakit lain.

Ruang yang selamat perlu dicipta di mana wanita boleh berbincang isu berkaitan.

Wanita juga memerlukan kepimpinan lebih kuat dan ini pastinya bermula dengan kerajaan.

“Kini hanya ada 19 peratus saja wanita dalam kabinet. Bila ada wanita di peringkat kepimpinan, lebih banyak suara untuk membuat polisi.

“Kira-kira 35 peratus Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di negara kita adalah wanita. Purata di peringkat dunia, 15 peratus saja. Namun hanya 12 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah wanita. 40 peratus pengurus kanan adalah wanita. Tapi kenapa tidak dinaikkan pangkat ke peringkat Pengarah atau Lembaga Pengarah?” tegasnya yang menyatakan wanita bukan saja perlu berjaya memegang jawatan tinggi tetapi perlu menyumbang kepada pembentukan polisi umum wanita.

‘Kelab lelaki’
Jumlah pembabitan wanita dalam bidang guaman di negara ini menunjukkan penurunan.

Brenda Rangithan berkata, semakin senior seorang wanita dalam bidang perundangan, semakin ramai yang tidak bertahan dengan kerjaya mereka.
Pada tahun 2023, di Kuala Lumpur, terdapat 9667 peguam.

Daripada jumlah itu, 5,200 adalah wanita. Namun, apabila dipecahkan, peguam yang tinggal sejak tujuh tahun lalu, 2,200 lelaki dan 1,200 wanita.

“Punca ramai wanita meninggalkan kerjaya mereka apabila lebih senior dipercayai disebabkan bidang guaman adalah ‘kelab lelaki’.

“Masa saya mula-mula menyertai bidang ini, ada lelaki berkata, ia memang kelab lelaki dan wanita hanya bekerja untuk lelaki. Wanita pula mempersoalkan sejak bila ia milik lelaki? Kalau anda belum pergi lebih jauh, bekerjalah lebih keras,” katanya.

Justeru katanya, wanita dalam industri perundangan, lebih cenderung membuat kerja untuk korporat lantaran mahkamah lebih sukar.

Beliau mendakwa pernah melalui gangguan ketika menjalani latihan amali apabila seorang peguam senior meluahkan kekecewaan di hadapan orang ramai kerana beliau tidak memakai skirt dan bertumit tinggi pada hari itu.

“Kenapa saya perlu bekerja kuat dan diperlekehkan? Saya dapati rakan wanita sebaya atau lebih muda, belum berkahwin kerana tiada masa. Mereka bekerja sehingga jam 11 malam hingga 1 pagi.

“Berbeza dengan lelaki, ramai yang berkahwin dan tiada masalah. Ini kerana wanita menjaga anak dan rumah tangga. Ada komen, awak cantik sangat untuk agresif dalam mahkamah,” katanya.

Brenda berkata, KL Bar mewujudkan jaringan sokongan rakan sebaya bagi gangguan seksual atau gangguan di tempat kerja.
Aduan diterima akan dipanjangkan kepada psikologis profesional dan memberikan panduan kepada pengadu mengambil tindakan undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×