TUMPAT: Pengusaha bot di Jeti Kok Majid di sini dan Kuala Besar, Kota Bharu yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan ke Pasar Terapung Sri Tanjung dan Pantai Suri diingatkan supaya mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan berlakunya tragedi yang tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, hal ini kerana lokasi itu menjadi tumpuan luar biasa pelancong pada cuti minggu dan ada dalam kalangan pengusaha bot mengejar trip sehingga membahayakan keselamatan penumpang.
“Kita (polis) tidak mahu pengusaha bot membawa penumpang melebihi kapasiti dan boleh menyebabkan kemalangan.
“Jadi hari ini (semalam), kita mengadakan sesi dialog bersama pengusaha bot supaya mereka tahu undang-undang dan aspek keselamatan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program Taklimat Bot Penambang yang dihadiri 40 pengusaha bot di dewan terbuka Pulau Sri Tanjung di sini.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini masih ramai pengusaha bot yang tidak memiliki lesen jurumudi dan lesen bot.
Katanya, kehadiran wakil Jabatan Laut akan memudahkan urusan pengusaha bot memiliki lesen itu nanti.
Sementara itu, seorang pengusaha bot wanita, Che Mas Ismail, 57, dia mengusaha bot secara sambilan untuk membawa penumpang ke pasar terapung Sri Tanjung pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja.
“Saya antara yang tidak memiliki lesen jurumudi bot lagi, walaupun mengendalikan bot ini sudah empat tahun.
“Saya akan bagi kerjasama yang baik nanti untuk memiliki lesen itu kerana ini adalah mata pencarian untuk menambah pendapatan keluarga,” ujarnya.
Seorang lagi pengusaha bot, Mat Yani Ismail, 52, berkata, dia menyambut baik taklimat aspek keselamatan pengendalian bot serta aspek undang-undang oleh polis.
“Saya sudah memiliki lesen jurumudi tetapi lesen bot tiada lagi. Kami mahu mencari rezeki lama di sini dan semoga pihak berkaitan memudahkan urusan kami untuk mendapatkan lesen,” katanya.










