Pelajar cari duit poket jadi ‘prebet sapu’

Pelajar cari duit poket jadi ‘prebet sapu’

ANGGOTA JPJ menahan seorang prebet sapu yang dikesan menurunkan penumpang di sebuah kolej kediaman pelajar di Nilai, Seremban. -UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kegiatan ‘prebet sapu’ dikesan berleluasa di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Nilai di sini dengan penglibatan pelajar sendiri selain ia mudah diakses melalui aplikasi Telegram.

Dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula sekitar pukul 11 pagi di sekitar Nilai, lima pemandu prebet sapu ditahan dengan tiga daripadanya merupakan pelajar.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, modus operandi kegiatan tersebut adalah dengan menerima tempahan bagi setiap perjalanan daripada penumpang melalui aplikasi Telegram yang hanya boleh diakses secara tertutup.

“Bilangan ahli dalam aplikasi Telegram ini ramai, lebih 12,000, kebanyakannya pelajar IPT sendiri.

“Kadar tambang tertentu akan dikenakan kepada penumpang mengikut jarak perjalanan yang dibuat pada kadar lebih murah,” katanya ketika ditemui selepas operasi prebet sapu di Nilai, hari ini.

Dalam operasi itu, pemandu prebet sapu didapati mengambil dan menurunkan penumpang di kawasan kediaman pelajar menggunakan pelbagai jenis kenderaan tanpa permit.

Menurut Hanif Yusabra, pasukan penguat kuasa telah melaksanakan penguatkuasaan ke atas pemandu kereta sapu di sekitar Nilai berikutan aduan daripada ibu bapa dan pemandu e-hailing.

“Hasil risikan dan pemantauan oleh anggota JPJ sejak beberapa hari lalu mendapati ada kenderaan persendirian menjalankan kegiatan mengambil penumpang dengan bayaran tertentu.

“Kesalahan dilakukan adalah serius jika terlibat kemalangan selain boleh mengundang kepada aktiviti jenayah kerana kesahihan pemandu diragui,” katanya.

Jelas beliau, kebanyakan pemandu prebet sapu yang dikesan merupakan pelajar dan bekas pelajar IPT yang mana mereka menggunakan alasan tidak tahu kegiatan salah di sisi undang-undang.

“Mereka yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 23(2) iaitu Salah Guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 atau maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar IPT berkata, dia menggunakan perkhidmatan kereta sapu berbanding e-hailing kerana tambang ditawarkan lebih murah.

“Saya hanya perlu menghantar mesej di Telegram untuk membuat tempahan dengan memberitahu lokasi.

“Tambang dikenakan bergantung pada jarak. Kalau dari kolej kediaman saya ke kampus, caj dikenakan hanya RM4 berbanding menaiki e-hailing RM6,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi hari ini. 

Seorang lagi pelajar IPT merupakan penuntut tahun satu ketika ditemui selepas ditahan JPJ terkejut dan memberitahu baru tiga minggu menggunakan kenderaan dan hanya sekadar mencuba menjadi prebet sapu.

“Ini pertama kali saya buat prebet sapu, niat saya mahu mencari duit tambahan sebab ramai kawan turut menawarkan perkhidmatan sama. 

“Tetapi tidak sangka pula hari pertama buat, dah kena tahan dengan JPJ dan barulah saya tahu ia satu kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×