KUANTAN: Pengurusan Mitashamika Resources menjunjung kasih atas kesudian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mencemar duli melawat kiosk jualan milik syarikat itu di Tasek KotaSAS di sini semalam.
Sejak berniaga di situ bermula 1 Mei lalu, kiosk itu menjual aksesori telefon bimbit dan turut menawarkan perkhidmatan baik pulih yang satu-satunya terdapat di tasek tersebut.
Pengurus Mitashamika Resources, Shafieq Johari, 30, berkata, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal sememangnya begitu dinantikan oleh para peniaga di Tasek KotaSAS.
“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana Tuanku Sultan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang berkenan mencemar duli melawat dan menandatangani plak di kiosk kami.
“Menjunjung Kasih Paduka Baginda Sultan Pahang dan Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Shafieq berkata, orang ramai khususnya penduduk di KotaSAS boleh berkunjung ke kiosk yang terletak di Tasek KotaSAS jika ingin membeli aksesori atau membaiki telefon bimbit.
“Kita dapati di KotaSAS, Bandar Baru Kuantan ini belum ada kedai menjual aksesori telefon bimbit, jadi kita tawarkan perkhidmatan ini yang mana kita sudah kenal pasti jarak kedai aksesori telefon bimbit agak jauh dan daripada situlah kami berbincang dan bersepakat bersama pihak pengurusan syarikat untuk membuka kiosk ini.
“Kemudahan ini tentunya membantu orang ramai khususnya penduduk di KotaSAS ini untuk mencari dan membeli pelbagai jenis aksesori telefon bimbit dengan lebih dekat jaraknya dari kediaman mereka.
“Selain menjual aksesori, kita juga menyediakan perkhidmatan baik pulih telefon bimbit yang mana kita melakukan pembaikan secara bersemuka,” katanya. – UTUSAN










