Erynn Abdullah ingin keluar daripada ‘penyondol’ - Utusan Malaysia

Erynn Abdullah ingin keluar daripada ‘penyondol’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK aktif berlakon empat tahun lalu, pelakon, Erynn Abdullah bagaimanapun kerap dilihat membawakan karakter antagonis seperti ‘penyondol’ suami orang. 

Watak berkenaan bagaikan sudah melekat dengan gadis di bawah pengurusan MIG ini menerusi beberapa drama antaranya Rampas Cintaku, Bukan Lelaki Terhebat dan Derhaka Sebuah Cinta. 

Dedah Erynn, pernah beberapa kali dia menerima mesej daripada penonton yang memakinya kerana terlalu sebati menjadi orang ketiga dalam rumah tangga. 

“Pernah saya menerima mesej berbunyi begini, ‘nasib baik kau berlakon. Kalau jumpa orang macam kau di dunia nyata memang aku lempang’. 

“Saya sebenarnya gembira menerima mesej seperti itu kerana ia menandakan lakonan saya memberikan impak kepada penonton,” katanya ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini. 

Pernah bergandingan dengan nama nama hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Zara Zya, Sweet Qismina dan Fasha Sandha, pelajar seni teater Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini sentiasa berusaha untuk memastikan persembahannya tidak dilihat tenggelam jika bergandingan pelakon yang lain. 

Menerusi filem pertamanya, Ngesot, Erynn diberi kepercayaan untuk terlibat dalam naskhah thriller membawakan karakter adik kepada Sharifah Sakinah yang menunggu abangnya pulang. 

Gembira kerana akhirnya diberi kepercayaan keluar daripadai karakter penyondol, Erynn berharap filem ini akan menjadi pembuka jalan untuknya menerima tawaran watak yang lebih mencabar. 

“Sekarang saya perlahan-lahan keluar daripada watak penyondol. Selain Ngesot, saya terlibat dengan projek drama terbaharu membawakan karakter seorang isteri yang dianiaya. Emosinya sangat berat dan cara lontaran dialog juga berbeza. 

“Cita-cita saya sebenarnya ingin terlibat dalam naskhah aksi dan membawakan karakter perempuan gila,” katanya. 

DISERANG KERESAHAN MELAMPAU 

Perjalanan bergelar pelakon tidak mudah walaupun untuk mendapatkan watak sampingan. Erynn mengakui pernah disahkan menghidapi keresahan melampau (anxiety) kerana terlalu memikirkan masa depannya di dalam industri hiburan yang mencabar. 

“Saya selalu memikirkan apa yang akan terjadi jika saya tidak menerima apa-apa tawaran. Sebagai anak kedua dalam keluarga, saya bertanggungjawab menanggung keluarga. 

“Ibu bapa saya juga sudah semakin tua mencecah usia 60-an, jadi sekiranya mereka sakit, saya mahu memberikan bantuan,” jelasnya. 

Kini, Erynn bersyukur kerana semakin banyak rezeki yang ditawarkan kepadanya. Bukan itu sahaja, gadis itu turut menjaga pemakanan dan aktif bersenam bagi mengelak penyakitnya menjadi semakin teruk. 

“Kesibukan bekerja dan tekanan juga menyebabkan saya diserang anxiety. Dengan nasihat pakar, saya mula menjalani gaya hidup sihat seperti kerap bersenam, dapatkan tidur yang cukup dan menjaga pemakanan. 

“Alhamdulillah, saya sudah bijak mengawal keadaan dan kini bersedia untuk menerima apa-apa cabaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×