PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Bhd. menyemak turun penarafan sektor hartanah kepada ‘underweight’ daripada ‘neutral’ sebelum ini, berikutan kesukaran untuk mencari nilai dalam saham hartanah kerana harganya melonjak mendahului asas.
Bank pelaburan turut menyemak turun saranan Sime Darby Property dan SP Setia kepada ‘underperform’ daripada ‘outperform’ dan ‘market perform’ sebelum ini.
Katanya, untuk melihat pendapatan yang lebih segera, pihaknya masih lebih cenderung untuk meletakkan kepada pemain yang memfokuskan pada perumahan mampu milik.
“Ini kerana cabaran yang ditimbulkan oleh peningkatan kos sara hidup dan kenaikan kadar faedah serta peningkatan populasi golongan muda yang mencari penyelesaian rumah mampu milik.
“Kami menyukai MKH Bhd. memandangkan tumpuannya pada projek pembangunan mampu milik dan berorientasikan transit (TOD),” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya, kumpulan itu merancang untuk melancarkan pangsapuri perkhidmatan bertingkat tinggi dan kedai runcit mampu milik dengan jumlah nilai pembangunan (GDV) RM581.9 juta.
Jelasnya, dengan RM722.0 juta dalam jualan tidak dibilkan, syarikat dijangkan mempunyai kemampanan hasil dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kami juga menyukai MKH kerana perniagaan perladangannya yang semakin berkembang di Kalimantan dan lokasinya yang berhampiran dengan ibu kota baharu Indonesia yang membukanya kepada pelbagai peluang,” ujarnya.
Secara amnya, firma merasakan minat yang menggalakkan untuk hartanah di Johor Bahru, didorong oleh potensi ekonominya dan jangkaan lonjakan permintaan daripada limpahan infrastruktur.
“Faktor-faktor jelas yang menunjukkan potensi adalah seperti harga yang menarik, kadar penghunian yang tinggi dan lokasi strategik dengan infrastruktur masa hadapan seperti laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
“Namun, terdapat cabaran seperti kebolehcapaian pengangkutan awam darat yang terhad, kemungkinan kesesakan jalan raya dan kebimbangan mengenai penyelenggaraan pembangunan sekitar turut timbul,” ujarnya.
Kenanga berkata, kerumitan ini menyerlahkan kepelbagaian sifat pasaran hartanah Johor iaitu gabungan pelbagai faktor akhirnya akan membentuk landskap masa depan dan daya tarikannya kepada pelabur dan penduduk.
“Walau bagaimanapun, ia akan mengambil masa untuk pasaran mencapai keadaan optimum, memandangkan pelbagai cabaran dan pertimbangan yang terlibat.
“Pemaju yang mempunyai pendedahan terbesar di Johor dari segi peratusan jumlah baki GDV berkesan ialah UEM Sunrise Bhd (tidak dinilai; 70 peratus) Eco World Development Group Berhad (26 peratus), Mah Sing Bhd. (19 peratus), Sime Darby Property (enam peratus) dan SP Setia (16 peratus).-UTUSAN









