MT UMNO diberi mandat tentukan tempoh tarik sokongan terhadap PN - Utusan Malaysia

MT UMNO diberi mandat tentukan tempoh tarik sokongan terhadap PN

Dr. Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama kepemimpinan tertinggi UMNO selepas upacara menaikkan bendera pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2020 sebulat sua­ra memberikan mandat kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tempoh kepada UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya PN tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat 1 Ogos ini, UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada.

Tegasnya, keputusan itu dicapai selepas mendapat kata putus seluruh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020 semalam.

Katanya, ia merupakan pe­nambahan daripada usul yang dikemukakan iaitu tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) melalui ahli parlimen seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila parlimen dibubarkan, itu usulnya. Namun, jurucakap pengerusi badan perhubungan negeri telah mencadangkan agar timeline atau waktu untuk UMNO dan ahli parlimen seramai 38 orang dan empat lagi ahli parlimen dalam BN.

“Dalam perhimpunan ini telah memutuskan untuk memberi kuasa kepada presi­den dan MT bagi menentukan bahawa PRU mesti diadakan apabila tamat tempoh darurat pada 1 Ogos atau tarikh-tarikh sebelumnya jika darurat ditamatkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2020 di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata, keputusan tersebut akan dibawa dalam MT akan datang.

“Oleh kerana perhimpunan ini badan tertinggi yang memutuskan dasar dan polisi parti, maka ahli-ahli UMNO termasuk pimpinannya hendaklah mematuhi sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh parti dan tidak harus dakwa-dakwi bahawa UMNO sedang ada di persimpangan,” kata­nya.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika penggulungan meminta persetujuan semua perwakilan agar kepimpinan UMNO diberikan mandat tersebut.

Kemudian, seluruh perwa­kilan di Dewan Merdeka dilihat berdiri dan berkata setuju selepas Ahmad Zahid meminta mandat berhubung ketetapan tersebut.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa hubungan antara UMNO dan Bersatu serta PN tidak akan diteruskan pada PRU-15 selepas mendapat persetujuan majoriti perwakilan.

Katanya, usul itu terkan­dung dalam ucapan dasar Presiden dengan antara salah intipati dianggap penting membabitkan keputusan MT sebelum ini.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan memberikan bayangan bahawa UMNO akan menarik sokongan kepada PN pada Ogos ini.

Tegasnya, parti tidak boleh lagi berdolak-dalik atau acah-acah dalam menarik diri sokongan kepada PN.

“Sekali melangkah jangan berundur, kalau tiada apa-apa bulan Ogos kita keluar beramai-ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×