RUMAH lelong sering menarik minat pembeli golongan sederhana berikutan harga yang lebih rendah di antara 20 hingga 40 peratus berbanding harga pasaran.
Bagi golongan ini, membeli rumah dengan harga yang lebih murah adalah peluang keemasan kerana mampu memiliki hartanah tanpa perlu melabur terlalu banyak.
Selain itu, ada yang melihat potensi untuk membaik pulih rumah tersebut dan menjual dengan harga yang lebih tinggi di masa depan.
Mengakui perkara itu, pelabur hartanah lelong, Muhammad Ihsan Zainal Abidin berkata, permintaan paling tinggi adalah daripada pelabur hartanah yang sentiasa mencari peluang menambah aset kerana telah terbukti rumah lelong memberi pulangan yang konsisten.
“Permintaan untuk rumah lelong adalah lebih tinggi di kawasan bandar strategik yang matang seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru kerana kawasan tersebut mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan dan kemudahan awam, serta potensi untuk pertumbuhan hartanah yang baik.
“Namun, kebiasaannya golongan muda tidak berminat kerana perlu menyediakan deposit 10 peratus dan 10 peratus lagi untuk membaiki kerosakan atau proses ubah suai rumah lelong berkenaan.
“Sekiranya sebuah rumah berharga RM250,000, deposit 10 peratus berjumlah RM25,000 perlu disediakan dan golongan sederhana antara yang paling ramai melabur dalam hartanah lelong,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Turut berpandangan yang sama, Team Leader Perunding Hartanah, Muhammad Azizirrahim Mohd. Yusoff berkata, rumah lelong memang mendapat permintaan daripada individu yang mencari peluang memiliki hartanah dengan harga lebih rendah untuk pelaburan.
Jelas beliau, terdapat harga jualan rumah lelong serendah 40 hingga 50 peratus lebih rendah dari harga pasaran, sekali gus menarik minat pembeli yang mencari peluang untuk memiliki hartanah dengan kos yang lebih rendah.
“Potensi pulangan di mana pembeli melihat rumah lelong sebagai peluang untuk memperoleh keuntungan. Ini boleh diraih apabila pembeli membaik pulih rumah tersebut dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi di masa depan.
“Malah, kemudahan pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah atau kemudahan pembiayaan yang fleksibel boleh membuat pembelian rumah lelong lebih mudah diakses serta
kesedaran pasaran di mana masyarakat mula sedar potensi hartanah lelong sebagai peluang pelaburan yang baik, terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.
Beliau turut mengakui pasaran rumah lelong di Malaysia masih aktif dan kebanyakan lelongan rumah kini hanya melalui atas talian.
“Justeru, proses pembidaan menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa.
“Peminat rumah lelong juga boleh mendapatkan senarai rumah lelong dengan lebih mudah dengan hanya merujuk kepada laman sesawang lelongtip.com.,” katanya.-UTUSAN










